Untung bersih Q3 F&N susut 18% kepada RM93.85 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q3 F&N susut 18% kepada RM93.85 juta

F&N

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Keuntungan bersih syarikat Fraser & Neava Holdings Bhd. (F&N) bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2020 susut kepada RM93.85 juta.

Jumlah tersebut susut sebanyak 18% berbanding RM114.94 juta pada tempoh sama tahun lalu kesan daripada wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, perolehan syarikat makanan dan minuman (F&B) pada suku ketiga juga mencatatkan penurunan kepada RM918.07 juta berbanding RM1.07 bilion pada 2019.

F&N dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, pendapatan suku tahunan bagi jualan domestik menurun sebanyak 21.2% dan situasi tersebut adalah tidak seperti tahun-tahun sebelumnya apabila jualan meningkat menjelang musim perayaan Hari Raya.

"Penjualan minuman sangat terjejas namun penjualan berasaskan susu pula kurang terjejas.

"Sejak kelonggaran PKP pada Mei, perniagaan F&B telah mula meningkat secara beransur-ansur dalam aspek penjualan dan pergerakan saham," kata F&N.

Bagi pengoperasian di Thailand, pendapatan suku tahunan turut menurun sebanyak 7.7% kepada RM455.8 juta.

Prestasi tersebut didorong oleh kekurangan jualan di pasaran domestik dan Indochina yang diimbangi oleh pertumbuhan eksport.

"Ekoran wabak, pendapatan domestik di Thailand berkurang 14.7% (dalam Bath Thailand) jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

"Penurunan ini turut disebabkan oleh stok perdagangan yang lebih tinggi kerana produk telah dihantar pada suku kedua menjelang keputusan darurat wabak yang diumumkan di Thailand pada 26 Mac lalu," jelas F&N lagi.

Jelas syarikat itu lagi, pihaknya akan terus berwaspada terhadap ancaman wabak dengan mengambil kira langkah-langkah keselamatan yang diperlukan di pejabat dan kilang mereka demi kesejahteraan kakitangan.

"Dalam jangka masa panjang, kami percaya pandemik ini adalah peluang kami untuk mengatur semula sebarang perubahan. Kami perlu fokus pada masa hadapan dan memastikan kita dapat tangani krisis ini," ujar F&N. - DagangNews.com