KUALA LUMPUR 24 Feb - Keuntungan selepas cukai (PAT) Maxis Bhd. merosot 9.4% kepada RM289 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (Q4), berbanding RM319 juta yang direkodkan bagi tempoh sama 2020.
Penurunan ini terutamanya disebabkan pelaburan besar yang berterusan untuk mengukuhkan rangkaian Maxis, penyelesaian perusahaan dan liputan fiber serta penggunaan berhemah bagi mengurangkan hayat spektrum, mengakibatkan kos susut nilai dan pelunasan yang tinggi, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM2.45 bilion daripada RM2.26 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil perkhidmatan pada suku dikaji meningkat kepada RM2.01 bilion, naik 1.9% tahun ke tahun dipacu perniagaan mudah alih teras yang memberikan pertumbuhan mantap dalam pascabayar, di samping mencatatkan pertumbuhan pesat dalam jalur lebar fiber dan tanpa wayar.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang dinormalisasi kekal stabil pada RM939 juta walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Ia turut menyaksikan aliran tunai bebas operasi yang teguh (OFCF) pada RM1.28 bilion, meningkat 12.2% didorong oleh pengurusan aliran tunai yang berhemah dan kecekapan yang lebih baik daripada program modal kerja serta pembayaran USP dan cukai yang lebih rendah.
Pada suku berkenaan, Maxis melabur sebanyak RM1.2 bilion dalam pelaburan modal bagi 2021, sebanyak RM597juta, jumlah tertinggi dalam satu suku.
Pelaburan itu termasuklah untuk memastikan prestasi tinggi Rangkaian Menyeluruh, penyelesaian Perusahaan serta komitmennya untuk Jalinan Digital Negara (Jendela) termasuk 50k Fiber-ke-Rumah pada 2021.
Sementara itu, bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersih Maxis susut 5.07% kepada RM1.31 bilion daripada RM1.38 bilion manakala pendapatan meningkat kepada RM9.2 bilion berbanding RM8.97 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gökhan Ogut berkata, strategi konvergen dan ketangkasan kumpulan dalam persekitaran yang berubah pantas ini membolehkannya berdaya tahan, manakala kakitangan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyokong keperluan pelanggan dan komuniti.
"Melalui pelaburan berterusan kami dalam Rangkaian Kita dan sokongan untuk Rangkaian Malaysia, kami komited untuk membawa teknologi terbaik dan Rangkaian Menyeluruh untuk memastikan semua individu, keluarga dan perniagaan di Malaysia bersalinghubung," katanya.
Maxis mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 4 sen sesaham, ditambah interim khas 1 sen sesaham, menjadikan peningkatan dividen tahunan kepada 17 sen sesaham. - DagangNews.com