Untung bersih Sime Darby Plantation susut 35% kepada RM396 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Sime Darby Plantation susut 35% kepada RM396 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Nov - Untung bersih Sime Darby Plantation Bhd. susut 35% kepada RM396 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM609 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu dipengaruhi oleh keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berulang daripada segmen huluan tetapi sebahagiannya diimbangi keuntungan yang lebih baik daripada segmen hiliran, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM5.39 bilion daripada RM5.06 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pula, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.79 bilion dengan pendapatan lebih tinggi pada RM15.36 bilion daripada RM13.15 bilion.

 

Pada suku ketiga, pengeluaran buah tandan segar yang lebih tinggi telah direkodkan di Indonesia dan Papua New Guinea masing-masing meningkat 21% dan 1% tahun ke tahun. 

 

Tetapi pengeluaran buah tandan segar di Malaysia menyaksikan penurunan 27% tahun ke tahun mengakibatkan penurunan keseluruhan 8% kepada kumpulan.

 

Penurunan produktiviti ini sebahagian besarnya disebabkan kekurangan pekerja tetapi ia diimbangi dengan harga minyak sawit mentah direalisasikan yang lebih tinggi, meningkat 13% tahun ke tahun.

 

Cabang hiliran kumpulan, Sime Darby Oils merekodkan pretasi cemerlang pada suku ketiga, dengan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM337 juta, peningkatan ketara daripada RM6 juta pada bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Operasi Sime Darby Oils di Asia Pasifik merekodkan margin dagangan yang lebih tinggi pada suku dikaji, mengurangkan jumlah jualan dan margin bagi operasi Eropah yang lebih rendah.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, kumpulan mengalu-alukan kemasukan lebih ramai pekerja asing ke Malaysia yang kini semakin meningkat.

 

Katanya, selain memulihkan ladang kepada keadaan optimum, kumpulan juga meneruskan perancangan untuk mengautomasikan beberapa fungsi dalam operasi di Malaysia.

 

"Memandangkan kami secara beransur-ansur mengurangkan keperluan pekerja manual dalam semua aktiviti bukan penuaian, kami menyasarkan untuk mencapai nisbah tanah kepada pekerja sebanyak 17.5 hektar untuk setiap pekerja menjelang akhir 2024, yang akan menjadi peningkatan besar berbanding purata semasa industri pada 8 hektar bagi setiap pekerja.

 

"Dengan automasi dan pendigitalan yang lebih lanjut, kami berazam untuk menjadikan kerja-kerja di ladang kurang berorientasikan buruh, sebaliknya lebih canggih untuk menarik tenaga kerja dalam kalangan generasi baharu tempatan yang mahir," katanya.

 

Namun, menurut beliau, pengeluaran buah tandan segar dijangka lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding tahun sebelumnya berikutan kemasukan pekerja asing yang perlahan di Malaysia.

 

Pada masa sama, katanya, harga minyak sawit mentah yang telah memuncak pada separuh pertama 2022, kini kembali stabil apabila bekalan di negara pengeluar meningkat bagi memenuhi permintaan terpendam dalam pasaran global.

 

"Harga minyak sawit mentah dijangka kekal menarik berbanding minyak sayuran alternatif lain, yang akan terus membantu menyokong permintaan," jelasnya. - DagangNews.com