Untung bersih suku pertama GDB melonjak 53.7% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku pertama GDB melonjak 53.7%

Gambar www.gdbhb.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Syarikat pembinaan, GDB Holdings Berhad (GDB) menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melonjak 53.7% bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (FY21) yang berakhir 31 Mac lalu.

 

Angka itu meningkat daripada RM5.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu kepada RM8.8 juta, dipacu oleh beberapa projek yang telah beralih ke peringkat pembinaan selanjutnya selain sumbangan daripada projek yang berjaya diselesaikan.

 

Dari segi hasil kumpulan pula, GDB mencatatkan peningkatan 11.2% kepada RM111.1 juta daripada RM99.9 juta pada 1Q20 didorong oleh hasil yang lebih tinggi daripada projek sedang berjalan dan perolehan projek baharu, 8 Conlay sejak November 2020.

 

Pengarah Urusan Kumpulan GDB, Cheah Ham Cheia berkata, kumpulan berjaya melakar pencapaian itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari hingga 4 Mac 2021 memandangkan sektor pembinaan dibenarkan beroperasi, walaupun kapasiti tenaga buruh yang sedikit.

 

“Kumpulan terus berharap impak daripada PKP 3.0 yang berkuatkuasa 6 Mei 2021 tidak akan ketara memandangkan hampir semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

 

Cheah Ham Cheia
Cheah Ham Cheia

 

“Kami akan terus berhati-hati dalam mengekalkan kecekapan operasi yang optimum pada tahun ini supaya kemajuan projek berjalan lancar.

 

“Malah,  AIRA Residence yang siap tepat masanya, pada awal Mac 2021 membolehkan kumpulan mengendalikan lebih banyak projek. Kami akan terus mengusahakan projek kediaman bertingkat untuk mencapai sasaran pengisian kontrak baharu iaitu RM500 juta bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

GDB mempunyai enam projek yang sedang berjalan bagi suku semasa di mana tiga daripadanya merupakan Park Regent di Desa ParkCity, Hap Seng Star Mercedes-Benz Autohaus di Setia Alam, dan Hyatt Centric Hotel di Kota Kinabalu.

 

Setakat 31 Mac 2021, kumpulan mencatatkan pesanan buku bernilai RM1.9 bilion yang diterjemahkan dalam perolehan positif sehingga 3QFY23.

 

Ini melibatkan kerja-kerja pembinaan bagi Perla Ara Sentral di Ara Damansara, Park Regent di Desa ParkCity, Hap Seng Star Mercedes-Benz Autohaus di Setia Alam, Hyatt Centric Hotel di Kota Kinabalu, Sabah dan 8 Conlay di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

 

Tambah GDB, dengan sifar pinjaman dan pegangan tunai sebanyak RM64.9 juta, kumpulan berada dalam kedudukan tunai bersih yang sihat setakat 31 Mac 2021, berbanding tahun lalu.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, Ham Cheia berkata, sentimen pasaran bagi ekonomi secara keseluruhannya dan terutamanya sektor pembinaan dijangka dipengaruhi oleh tindak balas COVID-19 kebangsaan termasuk pelaksanaan program imunisasi vaksin.

 

“Seiring itu, pelaksanaan inisiatif rangsangan ekonomi oleh kerajaan dijangka dapat membantu pemulihan ekonomi secara beransur-ansur.

 

“Walaupun kami telah mengambil langkah penting bagi memastikan kestabilan kewangan dan pembinaan projek berjalan lancar, tapi kami berhati-hati terhadap impak negatif ke atas keuntungan kumpulan sekiranya lonjakan harga dalam bahan pembinaan baru-baru ini seperti batang penulangan terus meningkat,” tambah beliau.

 

Setakat 2.16 petang, harga saham GDB meningkat 1 sen kepada 0.865 sen. - DagangNews.com