Untung bersih suku pertama TM melonjak lebih 2 kali ganda | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku pertama TM melonjak lebih 2 kali ganda

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Hasil yang lebih tinggi dan kecekapan kos operasi lebih baik mendorong Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) dua kali ganda lebih tinggi bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21). 

 

Ini menyaksikan pertumbuhan 113.4% daripada RM152.5 juta tahun lalu kepada RM325.5 juta, menurut TM.

 

Bagi suku semasa, hasil kumpulan melonjak 9.9% kepada RM2.81 bilion berbanding RM2.56 bilion pada suku yang sama tahun lalu dengan peningkatan merentasi semua unit perniagaan iaitu unifi, TM ONE dan TM WHOLESALE.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, pihaknya membuka tahun 2021 dengan momentum positif dan permulaan kukuh bagi Program Transformasi ‘TM Baharu’ 2021-2023. 

 

Katanya, dengan keputusan keseluruhan yang memberangsangkan itu, TM berada di landasan tepat untuk menepati panduan pasaran 2021 kumpulan serta bersedia untuk memberikan pengalaman pelanggan dan nilai pemegang saham yang lebih baik.

 

 Imri Mokhtar
Imri Mokhtar

 

“TM mengulangi peranan peneraju kami dalam mempercepatkan Digital Malaysia menerusi sambungan digital, infrastruktur digital dan tenaga kerja digital. Sebagai pemacu penting, kami bersedia memainkan peranan utama dalam pelaksanaan kedua-dua pelan pelaksanaan JENDELA dan merealisasikan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL); dengan memanfaatkan sambungan, infrastruktur digital dan penyelesaian inovatif kami yang komprehensif. 

 

“Kami turut komited kepada pertumbuhan yang lestari, dengan lebih tumpuan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh pihak Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan kami. 

 

“Saya dengan sukacita memaklumkan bahawa kami mengekalkan rekod cemerlang sebagai salah satu daripada 75 syarikat senaraian Bursa Malaysia di dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, dengan penarafan penuh 4/4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah kenyataan itu, inisiatif-inisiatif penambahbaikan kos secara berterusan terus menunjukkan hasil dengan nisbah jumlah kos operasi yang lebih baik iaitu daripada 88.1% pada tahun lalu kepada 79.7%. 

 

Pada suku semasa, TM melabur 8.8% daripada hasil dalam perbelanjaan modal atau capex yang berjumlah RM247.0 juta ketika syarikat terus memodenkan rangkaian dan platform teknologinya.

 

Ujar TM lagi, daripada jumlah yang dilaburkan, 69% untuk akses rangkaian termasuk JENDELA (perluasan jalur lebar fiber), 12% untuk rangkaian teras, dan baki 19% untuk sistem-sistem sokongan.

 

TM dijangka menepati panduan pasaran 2021 yang telah diumumkan pada bulan Februari iaitu hasil dijangka mendatar atau pertumbuhan satu digit, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) diunjurkan melebihi RM1.6 bilion dan panduan capex adalah antara 14% dan 18% daripada hasil. 

 

Menerusi laporan suku semasa TM di Bursa Malaysia, kumpulan tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi 1QFY21. 

 

Ketika laporan ditulis, saham TM berada pada kadar RM5.91. - DagangNews.com