KUALA LUMPUR 24 Jun - CGS International menjangkakan untung bersih teras Duopharma Biotech Bhd meningkat sebanyak 29.4% pada FY24 didorong oleh sektor awam yang menyumbang kira-kira 47% daripada jumlah hasil pada keseluruhan pada tahun ini.
Katanya, pertumbuhan itu disokong oleh kontrak baharu bernilai RM578 juta daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membekalkan 86 produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik awam sehingga Disember 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor swasta tempatan, menyumbang kira-kira 45% daripada jumlah hasil, dijangka berkembang sebanyak 5% setiap tahun dari FY24 hingga FY26.
"Pertumbuhan ini berpunca daripada pelancaran produk baharu dan peningkatan dalam perbelanjaan kesihatan out-of-pocket (OOP).
"Secara keseluruhan, Duopharma menjangkakan prestasi kewangan yang semakin kukuh didorong oleh kedua-dua kontrak sektor awam dan inisiatif pengembangan sektor swasta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
CGS International berkata, kumpulan itu menjangkakan peningkatan melangkaui pertumbuhan hasil, terutamanya melalui peningkatan margin kasar dalam operasi sektor awam.
Katanya, kontrak terkini di bawah Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL) telah dirundingkan pada kadar pertukaran kira-kira RM4.7/AS$, berbanding RM4.2/AS$ dalam kontrak sebelumnya.
"Kadar pertukaran yang menggalakkan ini dijangka dapat mengurangkan tekanan ke atas margin kasar, yang merosot daripada 41% pada 2018 kepada 38.7% pada 2023 disebabkan oleh susut nilai mata wang yang memberi kesan kepada kos bahan farmaseutikal aktif (API).
Firma penyelidikan itu berkata, hasil penambahbaikan itu, kumpulan itu meramalkan peningkatan dalam pulangan ke atas ekuiti (ROE) daripada 8.1% pada FY23 kepada 12.2% menjelang FY26.
Katanya, syarikat itu merancang untuk mengekalkan pendekatan konservatif dengan memegang baki tunai yang lebih tinggi untuk menguruskan penghutang perdagangan dan masih belum memuktamadkan rancangan perbelanjaan modalnya untuk jangka sederhana.
CGS International menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.55 sesaham.- DagangNews.com