Untung bersih Unisem pada 2QFY24 susut 29% kepada RM16.8 juta kesan kos operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Unisem pada 2QFY24 susut 29% kepada RM16.8 juta kesan kos operasi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Untung bersih Unisem (M) Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) susut sebanyak 29% kepada RM16.8 juta berbanding RM24 juta bagi suku sama tahun sebelumnya disebabkan perubahan campuran produk dan kos operasi yang tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu bagaimanapun meningkat 4% kepada RM394.6 juta berbanding RM378.7 juta pada 2QFY23 dipacu jumlah jualan yang lebih tinggi dan peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

Walaupun mencatatkan penurunan untung bersih, pembekal perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor itu mengumumkan dividen interim kedua sebanyak dua sen sesaham, yang dijadualkan untuk pembayaran pada 4 Oktober 2024.

 

"Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), untung bersih kumpulan susut kepada RM25.22 juta daripada RM33.79 juta setahun lalu, walaupun mencatatkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM759.4 juta berbanding RM732.7 juta sebelumnya," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, industri semikonduktor kekal berhati-hati di tengah-tengah peningkatan ketegangan global dan konflik yang berterusan. 

 

Bagaimanapun, Malaysia berkedudukan untuk mendapat manfaat daripada peperangan perdagangan sebagai alternatif utama dalam rantaian bekalan.

 

"Pelancaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) oleh kerajaan Malaysia adalah perkembangan positif yang seharusnya membantu memacu industri ke hadapan, sekali gus memberi manfaat kepada syarikat semikonduktor tempatan.

 

"Lembaga pengarah menjangkakan prestasi kumpulan akan lebih memuaskan pada suku kewangan seterusnya," katanya.- DagangNews.com