Untung bersih Zhulian susut kepada RM6.35 juta pada suku pertama kesan kelemahan perbelanjaan pengguna | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Zhulian susut kepada RM6.35 juta pada suku pertama kesan kelemahan perbelanjaan pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Untung bersih Zhulian Corp Bhd pada suku pertama berakhir 29 Februari 2024 susut sebanyak 8% kepada RM6.35 juta berbanding RM6.85 juta pada suku sama tahun sebelumnya akibat perbelanjaan pengguna yang lemah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan bagi tempoh dalam berkenaan juga susut sebanyak 11% kepada RM28.9 juta berbanding RM32.6 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

"Penurunan itu disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lemah kesan daripada keadaan ekonomi semasa dan peningkatan tekanan inflasi.

 

"Hasil daripada aktiviti operasi juga susut sebanyak 28% kepada RM4.7 juta berbanding RM6.5 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

"Penurunan adalah berkait secara langsung dengan penurunan hasil selain pengurusan kos operasi," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan prospek tahun semasa kekal mencabar akibat tekanan inflasi yang akan memberi kesan kepada kuasa membeli pengguna.

 

Katanya, keadaan itu dijangka membuatkan pengguna lebih berhati-hati untuk membeli produk terutamanya pada harga premium.

 

"Bagi memastikan kemampanan perniagaan, mereka memberi fokus kepada peningkatan program berkaitan pemilik perniagaan Zhulian bagi merangsang permintaan serta mengurus sumber secara berhemat selain  meningkatkan kecekapan operasi secara berterusan," katanya. - DagangNews.com