Untung Sime Darby Property naik mencanak | DagangNews Skip to main content

Untung Sime Darby Property naik mencanak

City of Elmina antara projek dibangunkan Sime Darby Property.

 

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Untung bersih Sime Darby Property Bhd. bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 naik mencanak hingga lebih 2,129% kepada RM60.6 juta berbanding RM2.72 juta bagi tempoh sama tahun lalu berikutan dalam segmen pembangunan hartanah. 

 

Pendapatan juga merekodkan prestasi membanggakan dengan melonjak 23.7% kepada RM589.48 juta pada suku berkenaan berbanding RM476.73 juta tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembangunan hartanah itu berkata, prestasi kewangan lebih baik pada suku itu terutamanya disebabkan pemulihan dalam pembangunan sektor hartanah berbanding tahun lalu akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

"Segmen tersebut menjadi penyumbang utama dengan mencatat peningkatan ketara sebanyak RM96.4 juta atau lebih 10 kali ganda berbanding tahun lalu," katanya. 

 

Ia berdasarkan jualan yang tinggi dan aktiviti pembangunan bagi projek City of Elmina, Serenia City, Serini, The Ridge dan Senada pada suku semasa. 

 

Dalam masa sama, perbelanjaan operasi pada suku tersebut juga rendah berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan pengurusan kos yang berhemah.

 

Di samping itu, margin keuntungan kasar yang rendah dicatatkan pada tempoh yang sama disebabkan terutamanya keuntungan minimum yang diperoleh hasil penjualan tanah pada harga RM118.7 juta di Gold Coast, Australia.

 

Menurut Sime Darby Property, terdapat bahagian kerugian yang lebih rendah menerusi jalinan usaha sama dan syarikat sekutu sebanyak RM2.5 juta berbanding kerugian RM10.6 juta tahun lalu.

 

"Ini disebabkan terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi dari PJ Midtown dan perbelanjaan pemasaran yang lebih rendah dikeluarkan oleh Battersea pada suku semasa," jelasnya.

 

Syarikat itu berkata, kumpulan mencatat prestasi kewangan dan operasi yang kukuh pada suku pertama 2021 meskipun PKP 2.0 dilaksanakan semula hampir separuh suku berkenaan.

 

"Kami merekodkan jualan sebanyak RM630.2 juta pada suku tersebut, yang menyumbang kepada pendapatan dan keuntungan sebelum faedah dan cukai masing-masing sebanyak RM589.5 juta dan RM97.9 juta," katanya. - DagangNews.com