Untung teras Ranhill Utilities diunjur bertambah antara RM10.7 juta hingga RM11.7 juta pada suku ketiga, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Untung teras Ranhill Utilities diunjur bertambah antara RM10.7 juta hingga RM11.7 juta pada suku ketiga, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - RHB Investment mengunjurkan keuntungan teras Ranhil Utilities Berhad pada suku ketiga tahun ini bertambah antara 15% hingga 25% antara RM10.7 juta hingga RM11.7 juta.

 

Katanya, anggaran pertumbuhan itu sebahagian besarnya adalah daripada kenaikan tarif air bukan domestik di Johor yang berkuat kuasa mulai Januari, ditambah dengan kemajuan yang lebih tinggi bagi pekerjaan perkhidmatan kejuruteraannya.

 

Prospek hartanah Johor disokong projek  Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) dan rancangan mempercepatkan kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan penggunaan air daripada hartanah perindustrian, komersial dan kediaman akan meningkat pada tahun-tahun akan datang selain cadangan kepada Kabinet mengenai mekanisme yang menghapuskan kelulusan menteri bagi pelarasan tarif air domestik diuruskan oleh air operator bekalan.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY23 tetapi menyemak naik untung bersih FY24 hingga FY25 antara 2% hingga 3% dalam penggunaan air yang diramalkan lebih tinggi.

 

"Kami juga menyemak semula andaian CoE bagi penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) bagi segmen air kumpulan itu kepada 8% daripada 9% bagi mencerminkan keadaan operasi yang lebih baik di Johor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: YTL Power muncul pemegang saham utama Ranhill Utilities

 

RHB Investment berkata, selain itu, rancangan YTL Power International Berhad bagi meneroka pusat data di Johor boleh merangsang permintaan air untuk sistem penyejukan pusat data dan secara amnya, kapasiti pusat data 1MW mungkin memerlukan sekitar 25,500 meter padu air setiap tahun.

 

Katanya, penerima berpotensi utama ialah Ranhill SAJ iaitu penyedia tunggal dan eksklusif bekalan air sumber ke paip di Johor.

 

Penggunaan air bukan domestik di Johor adalah 6.3% lebih tinggi pada FY22 pada 195.7 juta meter padu selepas mencatatkan penurunan selama dua tahun.

 

"Pemangkin jangka pendek ialah Ranhill Utilities dijangka disenarai pendek sebagai pengeluar tenaga solar melalui baki kapasiti tenaga solar 263.6MW di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.09 sesaham," katanya. - DagangNews.com