KUALA LUMPUR 21 Feb - UOB Asset Management (Malaysia) (UOBAM Malaysia) melancarkan dana pelaburan United Closed-End Series - Strategic Recovery Fund (UCSSRF).
Pelaburan permulaan minimum bagi dana tersebut adalah sebanyak RM10,000 dan tersedia untuk dilanggan mulai sekarang hingga 10 Mac 2023 melalui pengedar terpilih di seluruh negara.
Menurut kenyataan syarikat itu, dana tersebut menyediakan pendapatan dan pengekalan modal dengan menumpukan pelaburan terutamanya pada produk berstruktur sebagai aset pendasarnya.
Dana pertama seumpamanya ditawarkan oleh syarikat dengan objektif melaburkan nilai aset bersih (NAB) ke dalam produk berstruktur yang terdiri daripada sekumpulan saham terpilih.
NAB juga dilaburkan dalam derivatif, instrumen pasaran wang, deposit dan/atau tunai.
Walaupun strategi ini menawarkan potensi pendapatan, pelabur juga boleh meraih manfaat daripada peningkatan modal jangka pendek melalui saham yang terpilih.
Oleh itu, pelabur diberi peluang untuk mengambil kesempatan daripada potensi keuntungan dalam saham dan dana dagangan bursa (ETF) yang tersenarai di bursa utama seluruh dunia.
Pada masa sama, ia juga menyingkirkan risiko ketaktentuan yang negatif dengan mengekalkan modal pelabur apabila pelabur terus melabur sehingga tempoh matang, iaitu sehingga 18 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia), Lim Suet Ling berkata, pasaran runcit bagi nota berstruktur dengan pengekalan prinsipal telah berkembang sejak dua tahun lepas walaupun kebanyakan pelabur inginkan pulangan yang mempunyai turun naik yang rendah.
“Peralihan dalam tingkah laku pelaburan ini disebabkan oleh pasaran yang amat tidak menentu, dipengaruhi oleh pandemik dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
Disebabkan ini, kami melancarkan UCSSRF bertumpu kepada pendapatan dengan pengekalan modal kepada para pelabur," tambahnya. -DagangNews.com