UOB, Invest Johor meterai MoU bagi pacu pelaburan langsung asing ke SEZ Johor-Singapura | DagangNews Skip to main content

UOB, Invest Johor meterai MoU bagi pacu pelaburan langsung asing ke SEZ Johor-Singapura

Ng Wei Wei dan Natazha Hariss bertukar dokumen sambil disaksikan Onn Hafiz Ghazi pada majlis pemeteraian MoU antara UOB dan Invest Johor di Singapura 29 Ogos 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Ogos - UOB hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Invest Johor untuk memacu peluang pelaburan ke Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.

 

Di bawah kerjasama dengan Invest Johor, UOB akan bersama-sama agensi pelaburan negeri itu mempromosi dan mempermudahkan peluang pelaburan ke dalam SEZ Johor-Singapura. 

 

Menurut bank itu, ini akan dilakukan dengan menyasarkan pelaburan bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi daripada sektor keutamaan seperti elektrik dan elektronik, pembuatan dan kejuruteraan termaju, ekonomi digital, ekonomi hijau, sains hayat dan teknologi perubatan, kenderaan elektrik, aeroangkasa, serta pelabuhan dan logistik.

 

"Khususnya, “lorong hijau” akan diwujudkan bersama, di mana UOB dilantik sebagai rakan kongsi untuk membantu dari segi pelaburan langsung asing ke dalam sektor-sektor keutamaan ini bagi mempercepatkan pelaburan mereka.

 

"UOB juga akan menyediakan khidmat nasihat dan perbankan kepada syarikat yang ingin melabur di Johor sebagai sebahagian daripada MoU," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Hariss dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei pada Persidangan ASEAN yang diadakan di Singapura hari ini. 

 

Acara tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong.

 

UOB pada masa sama turut menandatangani MoU kedua dengan Lingang Group dari China, pengendali taman perindustrian yang mempunyai lebih 18,000 penyewa di seluruh China. 

 

Di bawah perkongsian ini, UOB akan membantu Lingang Group dan penyewanya berkembang ke Asia Tenggara.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia jadi tumpuan syarikat asing bagi kembangkan perniagaan, asas ekonomi kukuh, JS SEZ antara faktor - UOB

 

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, MoU antara Invest Johor dan UOB, anatara institusi kewangan terkemuka ASEAN yang mempunyai pengalaman lebih tujuh dekad dalam membantu pelabur di Malaysia, adalah satu contoh kesungguhan dan fokus kerajaan dalam meningkatkan pengalaman pelabur di Johor.

 

“Berikutan pertemuan kami dengan pemegang berkepentingan utama SEZ Johor-Singapura, kami mendapati jangkaan mereka adalah sangat tinggi. 

 

"Ini bermakna kami perlu meningkatkan lagi usaha kami, menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan memastikan bahawa kami bukan sahaja memenuhi, tetapi melebihi jangkaan ini,” jelasnya.

 

Wei Wei pula berkata, MoU dengan Invest Johor mengukuhkan lagi komitmen UOB untuk mempermudah pelaburan langsung asing ke Malaysia sekali gus menyokong kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. 

 

"Selain membawa masuk pelaburan, kami juga akan menghubungkan pelabur asing kepada rantaian nilai ekosistem tempatan yang bertujuan memanfaatkan perniagaan tempatan kami, khususnya PKS. 

 

"Ini akan memastikan pelabur asing boleh mengambil kesempatan daripada sumber tempatan, manakala pelaburan pula akan membawa kesan berganda kepada ekonomi,” ujarnya. - DagangNews.com