UOB Malaysia perkasa perjalanan kemampanan PKS menerusi program pemecut kelestarian | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia perkasa perjalanan kemampanan PKS menerusi program pemecut kelestarian

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong (kanan) dan Ng Wei Wei ketika melancarkan Sustainability Accelerator Programme di ibu negara.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - UOB Malaysia melancarkan 'Jom Transform - Sustainability Accelerator Programme (JT-SAP)', bertujuan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pengetahuan asas dan kepakaran dalam menerima pakai amalan mampan di samping mempercepatkan peralihan mereka kepada ekonomi rendah karbon. 

 

JT-SAP yang julung kali diadakan ini menyaksikan penyertaan daripada lebih 150 PKS dan persatuan industri dalam bengkel yang berlangsung selama tiga hari. 

 

Para peserta akan memperoleh pengetahuan tentang kajian kes antarabangsa, trend utama, rumusan dan pandangan tentang kemampanan bagi membantu perniagaan pada masa hadapan selain meningkatkan daya saing mereka.

 

Menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2023 , walaupun 84% perniagaan di Malaysia menganggap kemampanan adalah penting, namun hanya 37% telah memulakan amalan kemampanan dalam organisasi mereka. 

 

Menurut tinjauan itu, antara cabaran untuk melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah pengetahuan yang tidak mencukupi, kos pendahuluan dan kurang sokongan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, PKS membentuk kira-kira 98% perniagaan di negara ini. 

 

"Memandangkan ini, adalah penting untuk mereka menyertai perjalanan kemampanan bagi Malaysia menuju matlamat sifar bersih. 

 

"Kami berbangga melancarkan Jom Transform - Sustainability Accelerator Programme, yang dirancang untuk melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan kaedah yang sesuai bagi memudahkan peralihan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Ng, dengan menerima amalan hijau, PKS dapat mengurus risiko perniagaan dan juga memanfaatkan peluang kemampanan bagi memperoleh kelebihan daya saing.

 

JT-SAP memanfaatkan Rangka Kerja 3E (Evaluate, Engage, and Execute) yang komprehensif untuk membolehkan perniagaan mempercepatkan perjalanan kemampanan mereka melalui cara yang pragmatik. 

 

Program ini disampaikan dengan kerjasama rakan kongsi yang sehaluan, termasuk Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Pasaran Modal Malaysia (CMM), PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC), Green Real Estate (GreenRE), dan Thoughts In Gear (TIG).

 

Dalam pada itu, UOB Malaysia turut melancarkan UOB Sustainability Compass semasa program JT-SAP bagi membantu PKS tempatan mengatasi kelembapan dan memulakan usaha kemampanan mereka. - DagangNews.com