NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Nov - UOB Malaysia hari ini mengumumkan akan memberi pilihan kerpada seramai hampir 5,000 pekerjanya untuk bekerja dari jarak jauh sehingga dua hari seminggu selepas sekatan COVID-19 ditarik balik sepenuhnya.
Usaha itu dibuat sebagai langkah untuk memastikan pekerja bank itu dapat menyeimbangkan antara tanggungjawab profesional dan kesejahteraan mental mereka.
Pilihan kerja jarak jauh baharu UOB itu adalah sejajar dengan sentimen komuniti dengan 90% pekerja di seluruh negara berpendapat pengaturan kerja itu lebih fleksibel dan akan diamalkan selepas berakhir era pandemik COVID-19.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Sumber Manusia UOB Malaysia, Lai Tak Ming berkata, pandemik COVID-19 akan mengubah cara bekerja pada masa hadapan.
“Pandemik COVID-19 telah mendorong syarikat untuk melakukan perubahan daripada model tempat kerja tradisional kerpada kerja jarak jauh hampir sepenuhnya sekaligus mengubah cara syarikat beroperasi.
"Kini, apabila ekonomi mula dibuka semula dan negara beralih ke fasa endemik COVID-19, kami percaya bahawa persekitaran kerja masa depan akan mengamalkan model kerja hibrid dan pekerja diberi pilihan memilih cara serta tempat bekerja mereka.
"Model kerja hibrid menawarkan kakitangan manfaat terbaik daripada kedua-dua situasi kerana mereka mempunyai pilihan untuk bekerja di pejabat secara bersemuka atau untuk bekerja dengan selesa di lokasi jarak jauh pilihan mereka," katanya.
Sebagai tambahan kepada pilihan kerja jarak jauh, UOB Malaysia akan menawarkan pelan Flexi-2 yang memberi semua kakitangan dua jam tambahan sebulan untuk menyelesaikan urusan peribadi pada hari bekerja.
Kakitangan yang layak juga boleh memilih waktu kerja yang fleksibel, dengan mereka boleh memulakan hari kerja antara 7.30 pagi hingga 10 pagi berdasarkan gaya kerja pilihan mereka.
Baru-baru ini, UOB Malaysia turut mengadakan program kesejahteraan mental termasuk siri ceramah pendidikan, kursus latihan dalam talian dan pelbagai aktiviti yang boleh disertai kakitangan.
Aktiviti itu termasuk daripada membangunkan teknik kesedaran dan membina daya tahan mental kepada mempelajari bagaimana mereka boleh menjaga rakan sekerja yang mungkin tertekan dari segi mental.-Dagangnews.com