UOB Malaysia sasar RM185 bilion pelaburan diluluskan | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia sasar RM185 bilion pelaburan diluluskan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mei – UOB Malaysia mengunjurkan pelaburan yang diluluskan di negara ini akan meningkat 13% kepada RM185 bilion pada 2021, di mana hampir 40% merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

 

Bank itu menjangkakan China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai antara sumber utama FDI, di mana kebanyakan daripada modal akan disalurkan ke sektor nilai tambah tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), kimia, pembuatan dan perindustrian.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, walaupun perniagaan dan rantaian bekalan di seluruh dunia masih berdepan dengan kesan pandemik, pihaknya gembira melihat Malaysia berupaya menarik syarikat dari seluruh dunia berkembang ke Asia Tenggara.

 

Ng Wei Wei
Ng Wei Wei

 

“Kami yakin bahawa potensi ekonomi Malaysia yang berpelbagai, asas yang teguh, dasar akomodatif dan demografi yang baik akan terus menarik minat syarikat asing yang ingin berkembang ke rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jelas UOB Malaysia, meskipun menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar pada 2020 akibat pandemik COVID-19, Malaysia masih mencatat jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion, di mana RM64.2 bilion adalah dari sumber FDI.

 

China merupakan sumber FDI utama Malaysia dengan RM18.1 bilion, atau bersamaan 28.2%, tambah bank itu.

 

Penyumbang lain termasuk Singapura dengan FDI sebanyak RM10 bilion, Belanda (RM7.0 bilion), dan AS (RM4.3 bilion).

 

Pada 2020, UOB Malaysia berjaya memudahkan peningkatan hampir 20% aliran masuk FDI dari China, berbanding tahun sebelumnya.

 

Ia juga menyokong aliran mantap pelaburan baharu dari syarikat Eropah, terutamanya dari Perancis, Jerman dan United Kingdom, yang meningkat hampir 10% setiap tahun.

 

Dalam pada itu, UOB Malaysia telah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memudahkan pelaburan masuk daripada beberapa syarikat utama sektor nilai tambah tinggi dari China dan Eropah dalam sektor E&E, kimia, pembuatan dan perindustrian.

 

Tambah Wei Wei, UOB Malaysia yakin bahawa pengaturan semula rantaian bekalan ke ASEAN akibat ketidaktentuan geopolitik, termasuk ketegangan perdagangan AS dan China, akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dalam sektor-sektor utama seperti perindustrian, barangan pengguna serta telekomunikasi, media dan teknologi.

 

Jangkaan pertumbuhan juga disokong oleh pelancaran rangkaian 5G global yang akan merangsangkan sektor E&E dan pembuatan elektronik selain mempertingkat infrastruktur digital negara, katanya.

 

“Di samping itu, berikutan usaha kerajaan Malaysia dalam menggalakkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus di negara ini, kami melihat minat yang semakin meningkat dalam projek berkaitan tenaga boleh diperbaharui, seperti tenaga solar.

 

“Apabila negara melakukan peralihan ke tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan infrastrukturnya dengan sumber tenaga yang lebih bersih, ia akan menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat multinasional yang ingin mengembangkan operasi mereka dengan cara yang mampan,” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com