UOB Malaysia tempatkan terbitan sukuk RM323 juta oleh EXSIM  | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia tempatkan terbitan sukuk RM323 juta oleh EXSIM 

Ng Ng Wei Wei

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - UOB Malaysia berjaya menentukan harga dan menempatkan terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi tempoh empat tahun berjumlah RM323 juta oleh Kumpulan EXSIM (EXSIM) pada kadar keuntungan tetap 4.5% setahun. 

 

Terbitan ini merupakan tranche kedua Program Sukuk Musharakah berjumlah RM2 bilion EXSIM yang mengewangkan pendapatan masa depan dua pembangunan kediaman mampan syarikat di Lembah Klang.

 

UOB Malaysia adalah Pengatur dan Pengurus Utama terbitan IMTN, yang menerima penarafan AA3/Stabil oleh RAM Rating Services Berhad. 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbesar hati dapat mengeratkan hubungan mereka dengan EXSIM selepas syarikat sekali lagi meletakkan keyakinan terhadap pasaran modal Islam dan keupayaan pembiayaan mampan bank tersebut. 

 

“Kejayaan dalam penentuan harga dan penempatan IMTN adalah bukti pengetahuan mendalam kami mengenai sektor hartanah negara. Ia juga menunjukkan keupayaan kami untuk mengatur perjanjian yang mengewangkan pendapatan masa depan aset hartanah kediaman yang hijau dan mampan. 

 

“Di UOB Malaysia, kami komited membantu pelanggan kami memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam memenuhi permintaan pelabur mereka yang inginkan syarikat yang mempunyai model dan amalan perniagaan mampan. Pada 2019, kami membangunkan Rangka Kerja Kewangan Mampan Hartanah UOB khusus untuk pelanggan yang memiliki atau mengurus aset hartanah yang mampan. 

 

“Rangka kerja pembiayaan ini menetapkan kriteria kelayakan, termasuk strategi kemampanan, objektif, penarafan dan sasaran prestasi untuk dipenuhi oleh syarikat apabila memohon pinjaman hijau atau pembiayaan berkaitan kemampanan. Ini juga memberi petunjuk kepada kami dalam usaha menyediakan pelbagai penyelesaian perbankan konvensional dan Islam untuk menjalin masa depan yang berterusan dengan pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Program Sukuk Musyarakah yang ditubuhkan pada 2019 itu telah distrukturkan oleh New Paradigm Markets Capital Sdn Bhd melalui syarikat tujuan khas, EXSIM Capital Resources Berhad. 

 

Di bawah program ini, terbitan IMTN tersebut juga disokong oleh Kertas Komersial Islam berjumlah RM80 juta, ditaja jamin sepenuhnya oleh UOB Malaysia bagi memenuhi keperluan kecairan IMTN.

 

Terbitan IMTN akan dijamin dan disokong oleh perjanjian jual beli yang dilaksanakan untuk dua projek pembangunan kediaman EXSIM iaitu D’Quince Residences dan D’Vervain Residences.

 

Setelah siap, pembangunan hartanah ini dijangka menerima sijil Penarafan Emas dari GreenRE.

 

Piawaian dan proses pensijilan GreenRE adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan komitmen Majlis Bangunan Hijau Dunia ke arah membangunkan bangunan yang menghasilkan tenaga yang sama atau lebih daripada yang digunakan atau yang bertujuan mencapai masa depan sifar bersih.

 

Pengarah Urusan, EXSIM, Lim Aik Hoe berkata, kedua- dua projek itu akan mengandungi ciri-ciri kemampanan termasuk panel solar, lampu dan sistem penyejukan udara yang cekap tenaga, serta penggunaan air hujan dan sisa yang dikitar semula menjadi kompos untuk membaja tanaman hijau di kawasan bangunan.

 

“Kejayaan dalam terbitan IMTN ini akan memberi kami kecairan untuk mencapai tahap pertumbuhan kami yang seterusnya bagi projek pembangunan EXSIM di masa depan. 

 

“Dengan sokongan daripada UOB Malaysia, transaksi ini, yang merupakan sebahagian daripada Program Sukuk yang inovatif, akan membantu EXSIM mengekalkan perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja bagi projek pembangunan hartanah yang baharu dan sedia ada kami. 

 

“Ia juga akan membolehkan kami memberi lebih banyak nilai kepada pihak berkepentingan kami,” katanya.

 

Pada tahun lepas, UOB Malaysia juga menyokong Program Sukuk EXSIM berjumlah RM3 bilion, dijamin terhadap pendapatan masa depan pembangunan hartanah komersial syarikat, Scarletz Suites yang terletak di Kuala Lumpur. 

 

Ditubuhkan pada 2008, EXSIM terkenal dalam membangunkan projek hartanah kediaman, komersial dan perindustrian yang mewah di Lembah Klang.

 

Sehingga kini, EXSIM telah melancarkan secara rasmi 28 pembangunan dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM12 bilion manakala RM18 bilion masih lagi dalam perancangan. - DagangNews.com