UOB perluas tawaran runcit di ASEAN menerusi kerjasama jenama serantau terkemuka | DagangNews Skip to main content

UOB perluas tawaran runcit di ASEAN menerusi kerjasama jenama serantau terkemuka

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Pemegang kad UOB di Malaysia boleh menantikan tawaran menarik dalam pengembaraan, runcit dan santapan mewah apabila bank meluaskan perkongsian dengan jenama terkemuka di seluruh rantau ini. 

 

Perkongsian ini sejajar dengan matlamat lebih tertumpu UOB untuk membina masa depan ASEAN, menyediakan perkhidmatan dan menghubungkan lebih 7 juta pelanggan merentasi rantau ini, apabila pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam selesai. 

 

Selain itu, perkongsian ini juga memperteguh kedudukan mantap UOB di ASEAN, dengan jumlah pengebilan bank sepanjang tahun sehingga kini di rantau ini meningkat hampir 30% tahun ke tahun pada September 2022 berikutan pembukaan semula sempadan di rantau ini. 

 

Peningkatan ini adalah 10% lebih tinggi berbanding jumlah sebelum COVID pada 2019. Jumlah pengebilan rentas sempadan UOB sepanjang tahun sehingga kini juga menyaksikan pertumbuhan lebih 80% tahun ke tahun dalam tempoh yang sama. 

 

Bekerjasama dengan jenama terkenal seperti Singapore Airlines (SIA), The MICHELIN Guide, Club21 dan Shopee, Bank menambah lagi program ganjarannya untuk pelanggan UOB dengan menawarkan diskaun rentas sempadan, ganjaran menarik dan pengalaman unik kepada pemegang kad UOB di rantau ini. 

 

Tawaran ini boleh diakses melalui aplikasi UOB Mighty dan Travel Insider UOB, platform sehenti yang berhasrat memberi inspirasi, panduan dan tip kepada pelanggan semasa perjalanan mereka melalui peneraju pemikiran (opinion leader) utama yang ditampilkan, di samping memperibadikan jadual percutian dengan tawaran terbaik untuk penerbangan, penginapan, pakej dan aktiviti.

 

Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Kumpulan UOB, Jacquelyn Tan berkata, pihaknya berbesar hati dan teruja dengan jenama terkemuka yang bakal menyertai mereka, dan keistimewaan eksklusif yang mereka akan sediakan kepada pelanggan di rantau ini. 

 

 

uob
Jacquelyn Tan (tengah, kiri) bersama Naib Presiden Kanan, Perancangan Pemasaran SIA, JoAnn Tan (tengah, kanan), pada majlis menandatangani memorandum persefahaman perkongsian serantau strategik UOB-SIA.

 

 

"Rakan kongsi kami berkongsi cita-cita kami untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna yang menetap dan juga saling berhubung dalam ASEAN.

 

"Inilah cara kami membezakan diri sebagai bank serantau yang sebenar, yang mana sempadan geografi tidak menghalang kami menyediakan ganjaran terbaik kepada pemegang kad di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia Ronnie Lim pula berkata, pihaknya tidak sabar mengembangkan perkongsian dengan jenama serantau ini bagi memastikan mereka terus menyediakan rangkaian tawaran serantau dan tempatan yang mantap dan relevan kepada pemegang kad. 

 

 

uob
Ronnie Lim

 

 

"Ini termasuk pemegang kad Citi, yang baru-baru ini telah berpindah ke UOB berikutan selesainya pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citi. 

 

"Semua pemegang kad kami juga boleh mengharapkan lebih banyak manfaat dan rangkaian keistimewaan yang lebih luas, selain program penebusan ganjaran yang dipertingkatkan apabila kami memanfaatkan ekosistem rakan kongsi kami yang lebih luas," katanya. - DagangNews.com