KUALA LUMPUR 7 Mac - UOB Asset Management Malaysia (UOBAM Malaysia) hari ini melancarkan United ESG Series-EAFE Plus Fund (UEAFEPF) bagi memberi pelabur runcit akses kepada syarikat-syarikat yang menyumbang dan meraih manfaat daripada peluang pertumbuhan jangka panjang di Eropah, Australasia dan Timur Jauh (EAFE), termasuk pasaran baru muncul (Rantau EAFE Plus).
Syarikat-syarikat ini juga mempertimbangkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang disepadukan ke dalam model dan amalan perniagaan mereka.
Dana melabur terutamanya dalam ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat di Rantau EAFE Plus yang mengikuti arah aliran pertumbuhan jangka panjang seperti revolusi penjagaan kesihatan dan teknologi maklumat, serta peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
UEAFEPF sesuai untuk pelabur runcit yang ingin peningkatan modal jangka panjang ke atas pelaburan mereka, mempunyai toleransi risiko yang tinggi dan mencari pendedahan pelaburan di rantau EAFE termasuk pasaran baru muncul.
Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM Malaysia, Lim Suet Ling berkata, syarikat melabur untuk keuntungan dan juga untuk sesuatu tujuan, yang akan memanfaatkan para pelabur selain mewujudkan impak positif kepada dunia.
Beliau berkata, persekitaran pelaburan Rantau EAFE Plus adalah amat menarik dan menawarkan potensi jangka panjang untuk pelabur Malaysia yang mencari peluang pertumbuhan.
"Portfolio UEAFEPF terdiri daripada 20 hingga 35 syarikat pertumbuhan cemerlang termasuk perniagaan disruptif kepada sektor utama indeks penanda aras mereka, yang bertujuan untuk memperoleh bahagian pasaran yang besar.
“Dana ini akan meluaskan akses pelabur kepada syarikat global terkemuka di luar Amerika Syarikat (AS), yang merupakan inovator digital baru muncul dalam industri teknologi, jenama pengguna yang lama bertahan dan sedang meningkat melalui pendigitalan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Suet Ling, syarikat-syarikat itu biasanya sangat kurang diwakili dalam portfolio global, selain terdapat saluran penyelidikan kukuh yang bersaing untuk memperoleh modal di Rantau EAFE Plus.
Beliau berkata, penyelidikan itu termasuk membantu perniagaan mengurangkan kos penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menginovasikan penjagaan kesihatan menggunakan platform digital baharu dan menggunakan pertumbuhan eksponen dalam kuasa pengkomputeran untuk mengubah sektor utama ekonomi global.
"Perubahan yang ketara sedang berlaku di rantau ini dan kami percaya portfolio kami berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada peluang ini,” katanya.
Dana bertujuan untuk mencapai peningkatan modal jangka panjang dengan melabur sekurang-kurangnya 90% daripada nilai aset bersihnya dalam ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti di rantau EAFE termasuk pasaran baru muncul.
Bakinya pula akan dilabur dalam aset cair seperti instrumen pasaran wang dan deposit.
UEAFEPF disediakan dalam kedua-dua mata wang domestik dan asing dengan pelaburan permulaan minimum berjumlah RM1,000, A$1,000, AS$1,000, £1,000 dan RMB1,000 masing-masing.
UEAFEPF diuruskan oleh Baillie Gifford Overseas Limited (Baillie Gifford), pengurus pelaburan antarabangsa yang mempunyai rekod prestasi jangka panjang yang cemerlang dalam pasaran ekuiti global.
Untuk maklumat lanjut mengenai UEAFEPF, sila layari www.uobam.com.my. - DagangNews.com