KUALA LUMPUR 28 Feb - UOB Asset Management Malaysia (UOBAM Malaysia) melancarkan SimpleInvest Solutions untuk pelabur individu mendapat akses kepada dana terlaras risiko dan terpelbagai dengan baik, bertujuan memenuhi selera risiko serta objektif kewangan mereka yang berbeza.
Dirancang untuk memudahkan pelaburan, SimpleInvest Solutions terdiri daripada tiga dana unik yang diuruskan secara aktif, iaitu United Simple Income Select (USIS), United Simple Growth Select (USGS) dan United Money Market Fund.
Mengulas lanjut, USIS bertujuan menyediakan pendapatan untuk pelabur berisiko sederhana dengan tempoh pelaburan jangka sederhana hingga panjang. Menggunakan strategi ‘fund-of-funds’ (FOF), USIS melabur dalam portfolio terpelbagai skim pelaburan kolektif dana pendapatan tetap, ekuiti dan berbilang aset.
USGS pula menyediakan peningkatan modal kepada pelabur yang mempunyai toleransi risiko tinggi dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam skim pelaburan kolektif portfolio dana ekuiti yang terpelbagai. USGS memberi pendedahan kepada kedua-dua peluang pertumbuhan yang disruptif dan sekular dalam sektor seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan dan inovasi penjagaan kesihatan.
Selain itu, United Money Market Fund menawarkan pendapatan jangka pendek dan mudah tunai kepada pelabur pembenci risiko dengan melabur terutamanya dalam sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan deposit.
Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM Malaysia, Lim Suet Ling berkata, memandangkan ketidaktentuan pasaran pada masa kini dan kadar faedah yang masih pada paras rendah di seluruh dunia, pelabur individu mungkin menghadapi cabaran membina portfolio pelaburan yang kukuh.
"Dengan SimpleInvest Solutions, kami berhasrat untuk menangani cabaran ini. Dirancang untuk memenuhi pelbagai jenis profil risiko, SimpleInvest Solutions membolehkan pelabur untuk melabur dengan mudah dan bijak pada peringkat berbeza dalam kehidupan mereka dengan hanya memilih penyelesaian yang sepadan dengan tahap toleransi risiko serta objektif pelaburan mereka.
"“Di bawah strategi FOF yang digunakan untuk USIS dan USGS, UOBAM Malaysia memanfaatkan kepakaran pengurusan dana kami untuk memilih dana pendasar.
"Kami mengambil kira pandangan tentang pasaran kewangan yang tidak menentu dan menganalisis setiap dana pendasar untuk mengetahui pemacu risiko dan pulangannya, menggunakan keupayaan penyaringan dalaman dan peruntukan aset kami," katanya dalam kenyataan.
Katanya, pihaknya akan sentiasa memantau prestasi dana pendasar untuk melaraskan semula proses pelaburan selain mengimbangi semula portfolio jika perlu.
United Money Market Fund boleh didapati di pengedar terpilih, manakala USIS dan USGS diedarkan oleh UOB Malaysia secara eksklusif.
Dana di bawah SimpleInvest Solutions disediakan untuk langganan dalam kedua-dua mata wang domestik dan asing dengan pelaburan permulaan minimum berjumlah RM1,000, A$1,000, S$1,000 dan AS$1,000 masing-masing.
Untuk maklumat lanjut mengenai SimpleInvest Solutions, sila layari www.uobam.com.my. - DagangNews.com