'Upayakan' orang kelainan upaya | DagangNews Skip to main content

'Upayakan' orang kelainan upaya

 

Oleh Fudzail
[email protected]

 

Hari ini 3 Disember 2020 merupakan hari untuk orang kelainan upaya (OKU) dengan tema ‘Membina Kesejahteraan OKU: Mendepani Perubahan’. Kerajaan melalui Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah mahu menubuhkan unit khas komunikasi dua hala atau komunikasi pelbagai hala antara KKM dan warga OKU.

 

Saya tidak pasti apa tujuan dan matlamat kerajaan dalam soal ini. Kita tunggu sahaja kerana sejak menjadi OKU selama 2 tahun 3 bulan, saya mula merasa keasingan dan tidak dipedulikan. Walaupun saya mempunyai banyak perkara yang ingin dikongsikan dengan masyarakat dengan 18 tahun pengalaman antarabangsa.

 

Saya terkena angin ahmar atau strok pada Ogos 2018 yang lalu dengan lumpuh sebelah kanan dan lupa 100%. Saya tidak boleh bangun tiga bulan dan jalan berjengket-jengket.

 

Saya mula kembali kepada asal dengan mengingati hampir 50% tentang masa lalu. Ingatan pada hidup di New Zealand dan masih kabur tentang penghidupan di Dubai.

 

Saya bernasib baik terkena strok sewaktu berada di Malaysia untuk menjaga ibu. Saya balik dari Dubai dan dua minggu tidak cukup tidur kerana ibu menjalani pembedahan. Saya anak lelaki bongsu dan seorang, dilahirkan kembar dengan seorang perempuan.

 

Kembar itu Fadzillah dilahirkan subuh di Pontian Pahang, manakala saya di lahirkan maghrib di Mersing Johor. Itulah keajaiban yang saya ingat, lahir kembar lelaki perempuan di dua buah negeri berlainan.

 

Dari berkerusi roda dan berjalan bertongkat, akhirnya saya berjalan tidak dipimpin. Masih lagi terhegeh-hegeh. Saya mempunyai keazaman yang kuat untuk balik seperti sedia kala.

 

Jantung saya dengan kapasiti 30% memperlahankan perjalanan. Saya terus berjalan dan sehingga minggu lalu jantung sudah 64% kapasiti.

 

Saya cuba mengingati apa yang berlaku dan segala tentang dunia. Saya membaca buku lebih 500 buah sejak strok untuk mendapatkan balik rentak penulisan yang sudah terabai kerana strok.

 

Saya adalah pemenang novel remaja Berita Harian 2018, pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, sembilan kali Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, dua Hadiah Sastera Johor dan lain. Menulis ratusan buah karya, cerpen, puisi, novel, kolum dan esei di semua penerbitan Malaysia.

 

Saya juga menulis di New Zealand dan UAE.

 

Semua itu sedikit sebanyak memantapkan saya sebagai ahli korporat dan usahawan di UAE yang banyak terlibat dengan pasaran antarabangsa dan sebagai sasterawan di Malaysia yang banyak menghasilkan karya.

 

Saya menggunakan otak kira dan kanan dalam mempelbagaikan usaha untuk memajukan diri sebagai manusia. Itulah kelebihan yang ingin saya memanfaatkan tetapi tiada sambutan masyarakat terhadap kerja-kerja saya.

 

Begitulah Tuhan telah menetapkan saya terkena angin ahmar. Boleh dikatakan, kesyukuran di atas apa yang terjadi bersama isteri, Dr. Azma Abdul Malek, seorang doktor perubatan dan pensyarah. Tanpa beliau, saya kehilangan punca untuk meneruskan kehidupan.

 

Kalau dilihat OKU merupakan antara kelompok penting masyarakat yang mempunyai potensi dan dinamika tersendiri dalam bidang masing-masing. OKU juga ada kemahiran yang boleh dikongsi untuk memajukan masyarakat.

 

Kita boleh lihat OKU dengan pencapaian mereka dalam bidang sukan terutama paralimpik biar pun abilimpik peringkat antarabangsa. Jangan mengira halangan yang ada untuk mereka hadapi. Keunikan dan keistimewaan atlet OKU banyak menjulang nama negara di persada dunia.

 

Begitu juga dalam industri dan keusahawanan. Orang OKU mempunyai kepakaran tetapi sering di pandang rendah oleh masyarakat kerana lebih mementingkan  keuntungan dari segalanya.

 

Dikabarkan populasi dunia seluruhnya dianggotai 15% golongan OKU. Di Malaysia, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat Jun 2019 menunjukkan, hampir 549,554 OKU sudah berdaftar. Lebih kurang 2% daripada jumlah penduduk Malaysia.

 

Jumlah yang agak ramai ini memperlihatkan golongan OKU mampu memberi impak signifikan dalam anggota masyarakat seluruhnya. Menyedari hakikat ini adalah Malaysia antara negara yang komited untuk meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CPRD).

 

Malaysia turut memperuntukkan hak dan perlindungan eksklusif kepada OKU dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

 

Oleh itu kerajaan menyediakan kemudahan atau perkhidmatan bagi menjaga, melindungi dan membela OKU. Kerajaan turut membangunkan pelbagai kaedah advokasi serta intervensi untuk memanfaat dan menggilap keistimewaan yang sedia ada pada golongan OKU dalam menghadapi cabaran

 

Dasar OKU 2007 dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang dibangunkan bagi membuktikan golongan OKU tidak pernah dipinggirkan atau didiskriminasi dalam masyarakat.

 

Usaha mengupayakan OKU juga berjalan seiring dengan setiap pihak. Bermula dengan fasa latihan sama ada dalam bentuk kemahiran atau pembangunan diri OKU hingga mereka mendapat pekerjaan.

 

Apabila sudah terdidik, timbul masalah penempatan OKU yang tidak dirancang. Begitu juga dengan pendidikan hingga ke universiti yang terus dianak tirikan walaupun kerajaan menyediakan 1% untuk OKU. Kemanakah graduan OKU menghadapi alam pekerjaan? Semakin ramai yang memasuki pengajian tinggi.

 

Kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga OKU masih jauh dalam masyarakat. Saya lihat di Kuala Terengganu masih lagi kebelakang dalam menyediakan ruang untuk OKU. Tetapi tidak di UniSZA yang agak lengkap kemudahan kecuali di beberapa bangunan.

 

Kerajaan telah memberi penekanan kepada kemampuan OKU bersaing di pasaran kerja dengan terbuka. Komitmen Kerajaan masih dipersoalkan tetapi kita melihat langkah-langkah yang dijalankan. Yang menjalankan tugas seperti penyelidikan bukan OKU tetapi orang yang sempurna. Orang OKU tidak diambil kerja walaupun lebih sesuai.

 

Kerajaan berperanan penting membangunkan penyelidikan dengan kerjasama semua pemegang yang berkepakaran dan ahli dalam bidangnya.  Kalangan ahli akademik, aktivis sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak kira dalam dan luar negara demi memartabatkan agenda pemerkasaan OKU secara amnya.

 

Untuk menjalankan Peluang Pekerjaan OKU di Malaysia akan merangkumi pekerjaan formal dan tidak formal di sektor awam serta swasta. Usaha ini boleh dipuji.

 

Penemuan kajian antara lain akan memberi maklumat mengenai situasi penawaran OKU. Baik di sektor formal dan tidak formal dengan aspek majikan dan halangan yang dihadapi oleh kedua-dua majikan dan OKU. Masalah ini terus berjalan.

 

Hasil daripada kajian ini adalah cadangan pembangunan pangkalan data berpusat. Ini mengenai pekerjaan bagi OKU dan pembangunan satu pelan tindakan berkaitan penggajian serta guna tenaga OKU dalam pekerjaan.

 

Kita menumpukan kepada usaha untuk mengenalpasti bantuan dan sokongan yang sedang disediakan oleh kerajaan.  Penelitian keperluan sebenar penjaga OKU seperti sokongan sosial, ekonomi, kewangan dan kesihatan termasuk mental dan psikologi.

 

Cadangan mekanisme sistem sokongan bersepadu untuk penjaga OKU dan pelan tindakan komprehensif bagi melaksanakan sistem sokongan boleh dikenal pasti untuk dilaksanakan.

 

Kita melihat usaha dan pendekatan holistik membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meraikan golongan OKU yang malang. Keistimewaan OKU semestinya didukung dan disokong oleh semua pihak dengan penuh rasa tanggungjawab yang secukupnya untuk memastikan penglibatan.

 

Bersempena Hari OKU Antarabangsa, kita harus menjadikan negara ini kekal berpegang kepada prinsip keterangkuman dan menyatukan rakyat. Kita mesti memastikan tiada siapa dalam kalangan rakyatnya terpinggir dalam arus perdana pembangunan negara seperti yang dirancang.

 

Pada kesimpulanya, martabat, hak dan pendirian golongan OKU tetap menjadi salah satu agenda teras untuk diperkasakan dan digembelengkan bersama. Diharapkan kemakmuran bumi bertuah yang makmur dan aman dapat dimanfaat, dikongsi bersama tidak kira siapa.

 

Oleh itu, OKU seperti saya yang mempunyai banyak pengalaman dalam kehidupan terutama di luar negara dan antarabangsa, baik dalam korporat, usahawan dan seni sastera, terus menunggu panggilan untuk berkongsi dengan generasi baharu! - DagangNews.com