UPM anjurkan Expository Quantum Lecture Series 2022 bersempena Hari Kuantum Sedunia | DagangNews Skip to main content

UPM anjurkan Expository Quantum Lecture Series 2022 bersempena Hari Kuantum Sedunia

KUALA LUMPUR 7 April - Bersempena sambutan Hari Kuantum Sedunia, Makmal Sains Berkomputasi dan Fizik Bermatematik, Institut Penyelidikan Matematik bersama Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengadakan Expository Quantum Lecture Series 2022 (EQuaLS 2022) dengan tema Recent and Related Development in NISQ Era bermula 11 hingga 14 April 2022.

 

UPM dalam satu kenyataan berkata, siri kuliah yang akan diadakan secara dalam talian itu akan menampilkan penceramah jemputan dari luar negara seperti David Girolami dari Politecnico, Itali; Arne L. Grimsmo dari University of Sydney, Australia dan Yeong-Cherng Liang dari NCKU, Taiwan.

 

Selain itu, mereka turut menjemput  Ahmed Jellal dari Chouaib Doukkali University, Maghribi; Yuxiang Yang dari University of Hong Kong;  Rainer Dumke dari Centre for Quantum Technology, Singapura dan Yutaka Tabuchi dari RIKEN Center for Quantum Computing, Jepun.

 

"Pada hari terakhir iaitu 14 April 2022 yang juga sambutan Hari Kuantum Sedunia, akan diadakan syarahan umum yang akan disampaikan oleh Bob Coecke yang menjawat jawatan sebagai Ketua Saintis dari Camnbridge Quantum, United Kingdom," katanya.

 

Inisiatif itu bertujuan untuk berkomunikasi dan meningkatkan kefahaman masyarakat awam mengenai perkembangan sains dan teknologi kuantum yang akan memberi impak kepada masyarakat pada masa hadapan.

 

Perkembangan terkini dalam teknologi berasaskan fizik kuantum sangat memberangsangkan terutama penghasilan komputer kuantum yang dijangka merevolusikan bidang-bidang lain seperti Kecerdasan Buatan (AI), pembelajaran mesin, model kewangan, keselamatan siber dan kriptografi, industri farmaseutikal dan sebagainya.

 

Pada masa sama, usaha memperkenalkan topik fizik kuantum di dalam sukatan mata pelajaran fizik di sekolah sewajarnya disokong oelh Kementerian Pendidikan Malaysia kerana ia dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai teknologi kuantum. - DagangNews.com