SERDANG 31 Jan – Sepanjang tahun 2019-2020, sebanyak 11,358 jaringan industri dan komuniti telah berjaya oleh Universiti Putra Malaysia dengan industri dan komuniti meskipun berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung pandemik COVID-19.
Program tersebut berjaya dilaksanakan bagi mendekatkan industri dan komuniti dengan warga kampus UPM melalui pendekatan pemindahan ilmu dan teknologi berteraskan kepada penyelesaian masalah setempat dan keperluan industri dan komuniti.
Sememangnya semua tahu, penularan virus COVID-19 yang melanda Malaysia sedikit menjejaskan perancangan untuk melaksanakan aktiviti jaringan industri dan komuniti terutamanya aktiviti yang melibatkan pertemuan secara bersemuka, berkumpulan dan aktiviti merentas negeri.
Walaubagaimanapun, gemaan seruan Al-Falah dari menara ilmu terus menyuntik semangat membara warga kampus UPM untuk terus berbakti kepada industri dan komuniti walaupun dalam keadaan situasi yang sukar seiring dengan motto UPM iaitu ‘Berilmu, Berbakti’.
Kejayaan ini hasil daripada kerjasama pelbagai pihak yang melaksanakan aktiviti berpandukan kepada model “Quadruple Helix Engagement” yang menggabungkan hubungan libat sama antara universiti, industri dan komuniti.
Bagi menghargai pencapaian tersebut, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM telah menganjurkan Majlis Apresiasi Industri dan Komuniti UPM atau dikenali sebagai UPM Industry and Community Appreciation Awards Ceremony (ICAN 2020 & 2021) di Palm Garden Golf CLub IOI Resort City, Bangi-Putrajaya pada 21 Disember 2021.
ICAN 2020 & 2021 adalah program tahunan UPM yang bertujuan untuk menghargai sumbangan rakan Industri dan Komuniti yang telah bekerjasama dengan warga kampus UPM dalam menjayakan aktiviti jaringan industri dan masyarakat universiti.
Anugerah utama Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi UPM ini telah disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM untuk menghargai sumbangan cemerlang rakan industri dan komuniti pada tahun 2019 dan 2020 yang tertangguh akibat pandemik COVID-19. Pengiktirafan penganugerahan turut diberikan kepada pegawai dan pelajar UPM yang turut terlibat dengan cemerlang dalam aktiviti jaringan industri dan komuniti.
ANUGERAH JARINGAN INDUSTRI DAN KOMUNITI BERIMPAK TINGGI
Bagi kategori industri, sebanyak sembilan industri telah dipilih untuk menerima anugerah jaringan rakan industri terbaik.
Antaranya adalah Nextgreen Pulp & Paper Sdn Bhd, Eco Premium Packaging (M) Sdn Bhd, Leong Hup Agrobusiness Sdn Bhd, Yakult Honsha Co.Ltd. Tokyo, Majlis Sukan Negara Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), World Diabetes Foundation, Persatuan Pekilang Panel Malaysia, dan Texas Instruments (M) Sdn Bhd.
Pegawai akademik yang turut mengungguli jaringan industri terbaik adalah Prof. Dato’ Dr. Mohd Hair Bejo, Prof. Dr. Hidayah Ariffin, Prof. Dr. Rosita Jamaluddin, Prof. Dr. Paridah Md Tahir, Prof. Dr. Zalilah Mohd Shariff dan Prof. Dr. Ishak Aris.
Di antara komuniti yang berjaya dinobatkan sebagai komuniti berimpak tinggi adalah, komuniti Perumahan Awam Seri Perlis II yang berjaya menghasilkan kebun bandar sebagai sumber makanan dan pendapatan sampingan komuniti hasil daripada khidmat nasihat Dr. Juju Nakasha Jaafar daripada Fakulti Pertanian yang turut mengungguli kategori pegawai akademik.
Selain itu, komuniti Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana 2 (SKTPP2), Puchong dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Puncak Jalil yang berupaya mendidik pelajar, guru dan ibubapa untuk aktiviti pendidikan dan kebajikan haiwan yang dibimbing oleh Dr. Nur Fazila Saulol Hamid daripada Fakulti Perubatan Veterinar yang turut memenangi anugerah bagi kategori pegawai akademik.
Malah, komuniti daripada Penjara Agro Dusun Dato’ Murad, Ayer Keroh turut dianugerahkan sebagai komuniti terbaik di atas penglibatan aktiviti penanaman rumput napier yang dijadikan sebagai makanan ternakan dalam pembuatan silaj. Impak ketara yang ditunjukkan oleh komuniti adalah apabila banduan lama berjaya memindahkan ilmu kepada rakan banduan baharu.
Turut mengungguli kategori komuniti terbaik adalah komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP), di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan yang berupaya memberi keyakinan dan sebagai rakan pembimbing kepada OKP untuk bebas daripada dadah.
Selain itu, komuniti Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Banting dan komuniti usahawan kecil Kabupaten Bogor, Provinsi Jawa Barat Indonesia turut terpilih sebagai rakan komuniti terbaik.
Pegawai Akademik yang turut memenangi anugerah dalam jaringan komuniti adalah Prof. Madya Dr. Sarva Mangala Praveena (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan), Prof. Madya Dr. Hanina Halimatussaadiah Hamsan (IPSAS), Dr. Rosmah Mohamed (Sekolah Perniagaan dan Ekonomi) dan Dr. Siti Hajar Ariffin (Fakulti Kejuruteraan).
ICAN 2020 turut menganugerahkan Viknesh Arumugam daripada Fakulti Kejuruteraan untuk mengungguli anugerah ICAN bagi kategori pelajar. Beliau telah melaksanakan program kesedaran dan pendayaupayaan masyarakat Sri Serdang dalam program kitar semula dan pemprosesan sisa makanan untuk dijadikan kompos. Usaha ini telah melestarikan alam sekitar dan menyumbang kepada pendapatan sampingan komuniti melalui hasil jualan kompos.
Selain itu, seramai 18 orang pembentang JINM Showcase turut dipilih untuk memenangi pingat emas, perak dan gangsa berdasarkan kepada pembentangan poster dan projek jaringan industri dan komuniti terbaik yang telah dilaksanakan.
Kemuncak majlis ini, Fakulti Ekologi Manusia, Fakulti Kejuruteraan, dan Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) telah dinobatkan sebagai pusat tanggungjawab terbaik UPM di atas pencapaian dan pelaksanaan aktiviti jaringan industri dan komuniti yang cemerlang pada tahun 2019 dan 2020. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang ICAN 2020 & 2021. – DagangNews.com