UPM jemput orang ramai sertai ceramah pentingnya vaksinasi COVID-19 secara dalam talian | DagangNews Skip to main content

UPM jemput orang ramai sertai ceramah pentingnya vaksinasi COVID-19 secara dalam talian


SERDANG 4 Jun - Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan “Coronavirus Vaccination Awareness Program (COVA)” pada 5 Jun 2021 (Sabtu), jam 11.30 pagi secara dalam talian.

 

Program bertemakan “United We Stand, Protected Together” yang dianjurkan oleh pelajar Bakti Siswa (QKK2101), UPM dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM.

 

Objektif program itu adalah untuk memberi kesedaran kepada awam tentang keperluan untuk mengambil vaksin COVID-19.

 

Pensyarah Jabatan Pensyarah Jabatan Mikrobiologi Perubatan, FPSK, UPM, Prof. Madya Dr. Malina Osman yang juga Pakar Kesihatan Awam akan memberi penerangan mengenai kesedaran pengambilan vaksin kepada awam.

 

"Program itu dapat memberi ilmu, kesedaran dan pendedahan kepada komuniti pentingnya pengambilan vaksin COVID-19 serta secara tidak langsung dapat dijadikan sumbangan daripada pelajar, UPM kepada masyarakat dalam bentuk pemindahan pengetahuan berkaitan isu wabak COVID-19.

 

"Selain itu, pelaksanaan program itu adalah sebagai menyahut saranan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengambilan dan kepentingan vaksin kepada awam," kata kenyataan UPM hari ini. 

 

Penyakit Coronavirus atau COVID-19 telah menjadi perhatian dan bualan dalam segenap lapisan masyarakat baik yang tua mahupun yang muda sejak mula dilaporkan pada Disember 2019.

 

COVID-19 kini tidak lagi asing bagi masyarakat Malaysia bahkan di seluruh dunia dan sehingga 25 Mei 2021, sebanyak 4.1 juta kes baharu dan melibatkan 84,000 kematian baharu telah dilaporkan di seluruh dunia.

 

Di Malaysia, jumlah kes amat membimbangkan pelbagai pihak kerana angka ini terus meningkat saban hari.

 

Bagi maklumat lanjut program COVA, sila hubungi Hasnah Abu Bakar di Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM di talian 012-263 7431. - DagangNews.com