KOTA KINABALU 7 Sept. - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati beberapa tempat di Sabah memiliki kes positif cacing hati atau Fasciola di Sabah.
Menurut kenyataan media universiti tersebut, penyelidik UPM sudah menyerahkan laporan hasil kajian cacing hati yang terdapat pada ruminan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) baru-baru ini.
Kejarsama penyelidikan UPM-JPVS telah bermula pada tahun lalu, melibatkan pegawai JPVS, pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, UPM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ketua projek kajian tersebut, yang juga Pakar Parasitologi, Dr Nur Mahiza Md Isa dari Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, berkata pernah dilaporkan kes cacing hati di negeri Sabah yang dinamakan Fasciola pada manusia.
“Penyakit Fasciola adalah penyakit parasit tropika yang diabaikan (Neglected Tropical Disease). Kita bimbang penyebaran penyakit tersebut kerana cacing Fasciola ini adalah penyakit zoonotik, di mana ia boleh dijangkiti daripada haiwan besar seperti lembu dan kerbau.
“Parasit cacing hati ini memberikan kesan secara jangka panjang kepada pengeluaran ternakan,” katanya.
Sementara itu, Professor Madya Dr Lokman Hakim yang juga merupakan ahli projek tersebut mengulas hasil dari kajian itu memberikan petunjuk awal untuk kepentingan kawalan dan rawatan parasit Fasciola di Sabah.
“Hasil dapatan kajian ini menunjukkan beberapa tempat mempunyai kes positif Fasciola pada lembu dan kerbau,” katanya.
Pengarah JPVS, Dr Peter Lee Ah Kong yang menerima laporan kajian tersebut di Wisma Pertanian Sabah berkata, JPV Sabah bersetuju supaya kajian seperti itu diperluaskan lagi pada kawasan lain pada masa akan datang.
“JPVS juga bersetuju untuk melihat penambahbaikan peraturan pengimportan ternakan dari luar negara dengan mengambil kira kawalan parasit,” katanya. - DagangNews.com