UPM, LKM beri pendedahan penjagaan tanaman koko kepada Orang Asli menerusi program Pertanian Untuk Rakyat | DagangNews Skip to main content

UPM, LKM beri pendedahan penjagaan tanaman koko kepada Orang Asli menerusi program Pertanian Untuk Rakyat

Demonstrasi oleh LKM mengenai kawalan pokok koko - Semua gambar ihsan Ramle Hj Kasin
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM) memberi pendedahan mengenai penjagaan dan pengendalian serta kawalan serangga perosak bagi tanaman koko kepada masyarakat Orang Asli, dalam program Pertanian Untuk Rakyat (Putra) baru-baru ini.

 

Bertempat di Kg Beswok, Pos Yum, Sungai Siput, Perak, aktiviti tersebut disertai oleh para pelajar UPM dari 17 Mei hingga 19 Mei 2024.

 

Sebanyak 150 biji benih nanas juga telah disumbangkan oleh Saudagar Nanas Agrofarm yang diwakili oleh Mohd Noorhardy Mohd Noorzain, iaitu Alumni UPM tahun 2002 untuk ditanam oleh komuniti orang asli di kawasan mereka.

 

Selain itu, aktviti pembuatan sabun tanpa kimia juga telah dijalankan bersama komuniti orang asli.

 

Ilmu pembuatan sabun ini telah dikongsikan oleh syarikat EcoGreen Global Sdn. Bhd. semasa fasa satu yang berlangsung pada 4 Mei 2024 bertempat di Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia.

 

 

upm

 

 

Wakil Lembaga Koko Malaysia (LKM), Mohd Mustafa Munim Motolani berkata, program yang dijalankan oleh UPM itu banyak memberi impak yang baik kepada komuniti Orang Asli dan pelajar itu sendiri terutama berkenaan dengan kelestarian pertanian dan juga alam sekitar.

 

“Program ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan praktikal kepada komuniti orang asli dan para pelajar mengenai kelestarian pertanian terutama melibatkan tanaman komoditi seperti tanaman koko”, ujarnya.

 

Seramai 200 masyarakat Orang Asli telah terlibat dalam program PUTRA Earth Care Initiative (PECI) tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak, Majlis Belia Daerah Sungai Siput, EcoGreen Global Sdn. Bhd., Pusat Pertanian Putra dan Fakulti Pertanian UPM.

 

 

mof
Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar bersama pelajar dan komuniti Orang Asli.   

 

 

PUTRA Earth Care Initiative (PECI) dirancang selaras dengan konsep Students for Society (S4S) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) yang mengutamakan bidang tujahan (niche areas) Universiti Awam selari dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang memfokus kepada pembangunan insaniah dan komuniti setempat berjaya dicapai melalui pemantapan sukarelawan mahasiswa.

 

Sementara itu, pengarah program, Tengku Afiqah Tengku Azman menyatakan bahawa program ini adalah bertujuan untuk memperkasakan kelestarian alam sekitar, keterjaminan makanan dan kelestarian pertanian kepada komuniti melalui dua fasa.

 

Fasa pertama iaitu program perkongsian berbentuk simposium yang melibatkan panel pakar daripada industri dan universiti manakala fasa kedua iaitu program pemindahan maklumat berkaitan kelestarian pertanian kepada komuniti orang asli dengan kerjasama LKM.

 

 

upm

 

upm

 

upm

 

upm

 

 

“Program ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong hasrat yang dibawa oleh Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang memperkasakan pertanian melalui komuniti.

 

UPM juga baru sahaja melancarkan jenama PUTRA yang diertikan sebagai “Pertanian Untuk Rakyat” di Istana Bukit Kayangan pada 16 Mei 2024 yang lalu”, ujarnya lagi.

 

PKPP UPM akan terus merancakkan lagi program pertanian untuk rakyat melalui program-program anjuran pelajar demi melestarikan semangat “BERILMU BERBAKTI”. - DagangNews.com