KUALA LUMPUR 10 April - Pasukan Srikandi Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul Naib Juara Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2022 (DELIA2022) selepas tewas kepada pasukan Kem Sungai Besi dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM).
Pertandingan akhir itu menyaksikan kedua-dua pasukan membahaskan usul debat bertajuk ‘Sejahtera IPT: Jawapan Kepada Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa’, dengan UPNM menjadi pencadang mewakili kerajaan sementara UPM selaku pembangkang.
Pertandingan bertemakan Mahasiswa Belia Nadi Negara Perkasa peringkat akhir itu diadakan secara fizikal di Panggung Percubaan UPM pada 9 April 2022 selepas ia diadakan secara dalam talian pada peringkat awal.
Pasukan UPNM meraih hadiah piala, sijil dan wang tunai sebanyak RM1,000 termasuk memenangi kategori Pendebat Terbaik peringkat akhir manakala UPM yang membawa pulang piala, sijil dan wang tunai RM700.
Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan menjadi milik Muhammad Danial Haikal Muhd Zamzur manakala Anugerah Pendebat Terbaik peringkat akhir menjadi milik Ahmad Quurtubi Awwabin Azman dengan kedua-duanya daripada UPNM.
Pasukan Kem Sungai Besi UPNM dibarisi oleh Nur Insyirah Ab Rahman, Ahmad Qurtubi Awwabin Azman, Iman Irfan Othman dan Nur Suraya Zulkifli.
Pasukan Srikandi KTDI UPM terdiri daripada Imaninah Mumtazah Abd Azazis, Nur Syazana Seruji, Siti Noralia Natasha Baharuddin dan Filda Mahashim.
Bagi tempat ketiga terbaik diraih oleh pasukan Mahallah Sumayyah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pasukan Lembah UPNM yang merupakan pasukan kedua UPNM dengan kedua-keduanya membawa pulang RM400, piala, dan sijil.
Pengarah DELIA2022, Nur Amila Dini Ahmad Nizam berkata, sebanyak 14 pasukan dari institusi pengajian tinggi Malaysia menyertai program anjuran bersama pengurusan Kolej Tiga Belas (K13), Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Beliau berkata, debat itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan idea tentang isu-isu semasa dengan penuh penuh keyakinan.
“Debat ini diharapkan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai bakat dalam bidang perdebatan, sifat daya saing serta berfikir pada tahap tertinggi,” katanya. - DagangNews.com