Urus OKU dengan orientasi kemajuan, bukan kebajikan semata-mata | DagangNews Skip to main content

Urus OKU dengan orientasi kemajuan, bukan kebajikan semata-mata

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

MENYAMBUT Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64 dengan pandemik COVID-19 dan kerajaan baharu, tiada banyak yang boleh diimpikan oleh seorang Orang Kurang Upaya (OKU). Kerajaan akan melaksanakan pemulihan ekonomi yang teruk dilanda pandemik dan kemelesetan di pelbagai bidang.

 

Kita menghampiri tahun 2022 yang terus kabur melainkan para pemimpin melupakan politik dan bekerja keras bagi memulihkan ekonomi negara yang memerlukan masa bukan setahun dua. Kita memerlukan masa dan tempoh yang  panjang.

 

Diharapkan orang muda, generasi baharu yang mempunyai idea untuk bekerjasama dengan kerajaan memberi peluang dengan tidak mengenal bangsa.

 

Untuk OKU, mereka hanya sekadar mengharap kerajaan mendengar dan mengambil langkan untuk menyegerakan segala tuntutan, itu pun kalau mengambil berat.

 

Pertamanya kita perlukan Jabatan OKU yang dipimpin oleh OKU sendiri seperti di New Zealand untuk menjaga kepentingan OKU. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sekitar 15% daripada jumlah populasi sesebuah negara sebenarnya terdiri daripada golongan OKU.

 

Di Malaysia, terdapat kira-kira 4.3 juta orang OKU dan jelas mereka bukan lagi sekadar minoriti sesebuah negara maka perincian, ruang dan langkah wajar perlu diambil bagi membolehkan OKU terlibat dalam pelbagai aspek pembangunan negara.


 

fudzail

 

 

Itulah pentingnya media massa untuk memartabat golongan OKU yang terpinggir dari segi infrastruktur dan peluang kerja.

 

OKU berasa dipinggirkan di negara sendiri berikutan kemudahan sedia ada tidak mesra OKU seperti bangunan tiada kemudahan OKU dan hanya di terdapat dibandar besar. Di luar bandar, infrastrukturnya masih lama dan kalau yang ada pun tidak mengikut spesifikasi belaka.

 

Kemerdekaan tanah air belum lagi milik sepenuhnya OKU seperti dianaktirikan dengan pelbagai kemelut yang dipandang ringan. 

 

Misalnya tandas sering dijadikan bilik stor, bilik barang simpanan dan bilik tidur. Jika masuk pun pintunya tidak boleh ditutup atau tiada pintu. Ramp yang disediakan tingginya bak mendaki gunung dan curamnya boleh membawa bencana buat OKU yang tidak kuat kudratnya dan terpaksa melupakan sahaja.

 

Selain peluang pekerjaan untuk OKU  terhad sebab hanya segelintir agensi kerajaan yang dengan 1% untuk OKU dan syarikat sahaja yang mahu menggajikan OKU. Selebihnya mengambil kerana terpaksa dan mengikut kuota.

 

Apalagi masyarakat normal mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kemudahan OKU termasuk tandas dan tempat letak kereta yang terhad.

 

 

fudzail

 

 

Kita melihat kurangnya maklumat kesedaran tentang OKU dalam media massa. Maklumat perihal OKU adalah faktor yang dapat mengubah sikap negatif terhadap OKU.

 

Lebih banyak maklumat mengenai OKU di media massa, semakin kuranglah stereotaip negatif mengenai OKU  dan semakin positif sikap mereka terhadap OKU.

 

Terdapat pelajar IPTA yang mempunyai sikap dan pandangan yang baik terhadap pelajar OKU yang menjadi rakan sepengajian.

 

Namun tahap pengetahuan pelajar biasa mengenai OKU, pendedahan dan pengalaman dengan OKU adalah rendah. Pengetahuan yang terserlah mengenai pelajar OKU berpotensi untuk mengubah sikap dan pandangan.

 

Pihak IPT adalah disyorkan memasukkan pendidikan mengenai OKU ke dalam kursus pengajian dan penyelidikan di pusat pengajian tinggi. Pengetahuan maklumat dan kesedaran yang disampaikan bermanfaat untuk jangka masa yang panjang. Kajian longitud patut diselidik sama ada langkah berkesan untuk seluruh mahasiswa.
 

 

UPM
LALUAN untuk OKU menuju ke Perpustakaan Sultan Abdul Samad, kampus induk UPM di Serdang, Selangor.

 

 

Pengetahuan individu terhadap sesuatu isu dalam mengenai hak OKU adalah sangat kritikal. Tanpa pengetahuan yang cukup, individu tidak boleh membuat keputusan dan tindakan yang positif.

 

Namun bukanlah satu jaminan yang individu yang mempunyai pengetahuan yang cukup akan mengambil tindakan positif. Selalunya walau mereka mempunyai pengetahuan yang tinggi bertindak sebaliknya dan tidak mengambil berat langsung pada OKU.

 

Kita berharap pendedahan maklumat dan pengetahuan dapat meningkatkan pencarian dan berlakunya perubahan dalam memahami hak OKU dengan positif.

 

Dasar OKU menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Mengutamakan nilai hak kemanusiaan misalnya kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan OKU hidup berdikari dengan sendiri dan tidak mengharapkan orang lain.

 

OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan. Pendekatan bersumberkan hak dan juga perlindungan patut digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU seluruhnya.

 

Kita melihat negara maju seperti New Zealand yang lebih berorientasikan kemajuan namun hak OKU di Malaysia masih berlandaskan kebajikan.

 

Sememangnya kurang adil sebab ramai OKU  mempunyai potensi yang amat berguna kepada diri dan masyarakat sekeliling.

 

 

fudzail

 

 

Paradigma hak OKU dapat dianjak dan ditingkatkan agar berlandaskan pembangunan masyarakat dan kesaksamaan hak dalam segenap aspek kehidupan yang terus mendepani.

 

Media massa mesti memainkan peranan untuk mempengaruhi masyarakat dengan mengambil kira peranan NGO dan kerajaan.

 

Ketiadaan maklumat dalam pelbagai aspek OKU akan menyebabkan masyarakat tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya yang sebaiknya.

 

Pembentukan sebuah model analisis fungsi media yang boleh membimbing pemikiran dan menyediakan pengawasan keadaan sekeliling dan kolerasi komponen masyarakat berhubung dengan keadaan sekeliling.

 

Media massa patut mengawal, membentuk, dan membantu masyarakat memahami dunia di sekeliling. Selain bertindak sebagai penggerak pendidikan sosial yang ketara.

 

Ini membantu mengatasi kekurangan maklumat dan pengetahuan dan mewujudkan masyarakat yang lebih peka dalam menangani isu hak OKU dengan lebih tepat.

 

Kurangnya pendedahan maklumat dalam media massa disebabkan tahap kesedaran yang rendah. Untuk terlibat secara langsung OKU mesti mendapatkan  hak kesamarataan dan suatu halangan kepada OKU.

 

Kurangnya statistik dan penyelidikan terperinci di negara kita tentang isu OKU dan masalah, kemelut, cabaran  yang dihadapi oleh OKU.

 

 

fudzail

 

 

Pentingnya kerjasama daripada semua pihak yang terbabit untuk menyelasaikan terutama dari OKU yang dilantik. Kita tidak harus membuat pandangan yang prejudis kepada OKU dari pelbagai segi dan bidang.

 

Perlu diberi peluang untuk semua manusia di dunia disamping dorongan dan galakan dengan  sikap dan semangat mahu berusaha di pihak OKU yang boleh memberi sumbangan kepada negara.

 

Kesedaran yang perlu dipupuk dalam diri masyarakat terhadap OKU sekaligus membantu untuk turut sama menyumbang kepada ekonomi negara, tidak terpinggir dan ketinggalan dalam masyarakat.

 

Kemerdekaan yang dikecapi membawa pelbagai pembangunan malah mendidik rakyat di negara ini juga saling hormat-menghormati dan tidak memandang rendah kemampuan OKU.

 

Kemerdekaan  merupakan seribu rahmat untuk membuktikan OKU juga mampu berjaya sama seperti mereka yang normal.

 

 

fudzail

 

 

Walaubagaimanapun, persepsi dan layanan masyarakat terhadap golongan OKU semakin baik berbanding zaman dahulu di mana golongan seumpamanya kurang mendapat perhatian.

 

Kemerdekaan itu adalah membebaskan diri daripada berasa rendah diri dengan kekurangan yang ada sebaliknya membuktikan kepada masyarakat bahawa OKU mampu bersaing seperti mereka yang normal.

 

Keamanan yang dinikmati hari ini turut membawa manfaat kepada golongan OKU  terutamanya dari segi kemudahan yang disediakan kerajaan kepada OKU.

 

Oleh itu dengan pandemik,  kemelesetan ekonomi dan pelbagai masalah, seorang OKU masih boleh terus berharap ada sinar di terowong masa! - DagangNews.com