Usaha MB Inc Perak terajui progam pendidikan lestari dapat pengiktirafan | DagangNews Skip to main content

Usaha MB Inc Perak terajui progam pendidikan lestari dapat pengiktirafan

Siti Kamesah Bee (duduk di tengah) bersama plak pengiktirafan Eco-Schools - Project Champions yang diterima MB Inc Perak.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH  28 Julai - Inisiatif Menteri Besar Incorporated (MB Inc Perak) sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menerajui program kelestarian berasaskan program Eco-Schools di sekolah-sekolah di negeri ini menerima pengiktirafan.

 

Ia atas penglibatan dan dedikasi terhadap pendidikan untuk pembangunan lestari yang mencakupi kesejahteraan terarah merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).

 

Malaysia bersama 192 negara menyokong aspirasi ini untuk dicapai pada tahun 2030 sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan bumi. 

 

Usaha MB Inc Perak ini juga hasil kerjasama Green Growth Asia Foundation (GGAF) serta sokongan baik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

 

MB Inc Perak dalam satu kenyataan memberitahu, atas pencapaian tersebut pihaknya telah menerima plak penghargaan Eco-Schools - Project Champions.

 

Menurut kenyataan itu, anugerah tersebut diterima pada Program Pelan Tindakan Bandar Hijau (GACP) Kick-Off: Building Back Better di Langkawi baru-baru ini.

 

MBINC
Pegawai-pegawai MB Inc Perak menunjukkan plak bagi 100,000 penyertaan kempen larian maya anjuran Eco-Schools Perak.

 

"MB Inc. Perak yang diwakili oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat Strategik, Siti Kamesah Bee menerima plak penghargaan itu.

 

"MB Inc Perak turut serta dalam program tersebut yang menghimpunkan panel-panel berkaitan untuk perkongsian pelan-pelan dan implementasi bagi Pelan Tindakan Bandar Hijau 14 buah bandar di Malaysia. 

 

MBINC

 

"Ia merupakan anjuran Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU JPM) dengan kerjasama Asian Development Bank," kata kenyataan itu.

 

Pada program sama turut berlangsung majlis pelancaran The Race Towards 1,000 Eco-Schools oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) yang mensasarkan 1,000 Eco-Schools di Malaysia menjelang 2025.

 

MB Inc. juga menerima plak bagi 100,000 penyertaan kempen larian maya anjuran Eco-Schools Perak melibatkan pelajar dan sekolah dalam usaha untuk mendidik dan mengenali program Eco-Schools di negeri ini. - DagangNews.com