Usaha sama JCorp, Tiong Nam bangunkan taman logistik dengan GDV RM2.39 bilion | DagangNews Skip to main content

Usaha sama JCorp, Tiong Nam bangunkan taman logistik dengan GDV RM2.39 bilion

Taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak dijangka menghimpunkan peserta industri antarabangsa. - Gambar hiasan : TPM Technopark Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Johor Corporation (JCorp) menerusi anak syarikat milik penuhnya, JLand Group Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian kerjasama awal dengan Tiong Nam Logistics Holdings Bhd. untuk membangunkan taman logistik berasaskan teknologi terkini di Lembah Teknologi Sedenak.

 

Dengan nilai pembangunan kasar (NPK) dianggarkan berjumlah RM2.39 bilion, usaha sama itu akan menguruskan perancangan induk, pembangunan dan promosi pusat logistik dan penggudangan binaan khas ini.

 

Projek tersebut akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh lima tahun, dengan anggaran 4,000 pekerjaan bakal diwujudkan daripada proses pembangunan, pembinaan dan pengendalian kemudahan.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, menerusi usaha sama itu, JCorp berhasrat untuk menjayakan projek perintis tersebut yang boleh dijadikan contoh bagi Industri
Logistik sebagai sebahagian daripada tumpuan pembangunan teras Lembah Teknologi Sedenak dalam industri strategik.

 

“Dengan pendekatan ‘Asia untuk Asia’ yang semakin berleluasa di peringkat serantau, JCorp berusaha memanfaatkan kekuatan pertumbuhan rantaian bekalan di rantau ini dengan membangunkan platform logistik bersepadu bagi industri dan perniagaan bertumpukan eksport. 

 

"Dengan kepentingan yang semakin ketara bagi perdagangan antara rantau di benua Asia, JCorp akan terus memanfaatkan rangkaian rakan industrinya untuk menggalakkan keterhubungan lebih kukuh bagi koridor perdagangan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Majlis tandatangan tersebut, yang diadakan di Menara Komtar, disaksikan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

 

 

JCORP
Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim Syed Mohamed (kiri) bersama Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock (empat dari kiri) pada majlis menandatangani kerjasama JCorp dan Tiong Nam sambil disaksikan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim (tengah).

 

 

Bidang-bidang tumpuan projek termasuk pengurusan sewa dan kemudahan, penyepaduan sistem logistik 4.0, dan juga perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran peringkat terakhir. 

 

Pembangunan lestari berskala besar itu turut menyediakan penyelesaian lestari sedia terbina seperti gudang dan kilang yang dibina mengikut spesifikasi, untuk memudahkan penyewa mengembangkan perniagaan
masing-masing.

 

Dibina untuk para peserta e-dagang, penyedia logistik pihak ketiga (3PL), penyedia perkhidmatan fret, peruncit dan syarikat perindustrian ringan-sederhana, pembangunan ini menyediakan kemudahan pintar, termasuk robotik dan sistem automasi dan juga infrastruktur berpandukan tenaga untuk menggalakkan operasi berlandaskan kelestarian. 

 

Kemudahan yang disediakan termasuk, tetapi tidak terhad kepada, infrastruktur utiliti asas, pengasingan lalu lintas kenderaan, ciri-ciri cekap guna tenaga seperti penjanaan tenaga solar dan lampu LED, ciri keselamatan berbilang peringkat 24 jam dan internet berkelajuan tinggi.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata, pihaknya teruja untuk memulakan kerjasama tersebut, untuk melabur dalam pembangunan dan pemodenan hab logistik dan penggudangan yang terletak di tengah-tengah Johor.

 

Katanya, taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak dijangka menghimpunkan peserta industri antarabangsa dan merintis penyelesaian logistik menggunakan pelbagai kaedah pengangkutan, dengan matlamat untuk meningkatkan rantaian bekalan dan pengangkutan di Johor dan peringkat serantau.

 

“Pengalaman kami menyediakan penyelesaian logistik bersepadu yang lestari, serta hartanah perindustrian dengan pensijilan bangunan hijau akan dimanfaatkan di hab perindustrian yang bakal dibina ini. 

 

"Melalui penyepaduan automasi logistik gudang dan teknologi pembinaan terkini, kami yakin bahawa projek ini akan meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti bagi menyokong aktiviti perdagangan antarabangsa dan tempatan, aktiviti pengeluaran dan penggunaan," katanya. - DagangNews.com