Usaha Tun M gagal, Belanjawan 2021 lulus | DagangNews Skip to main content

Usaha Tun M gagal, Belanjawan 2021 lulus

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Dewan Rakyat hari ini telah meluluskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 selepas bacaan ketiga sebentar tadi.

 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan berkenaan berdasarkan undian belah bahagi yang dilaksanakan hampir 10 minit.

 

Seramai 111 Ahli Parlimen yang bersetuju, manakala 108 lagi tidak bersetuju dan seorang Ahli Parlimen tidak hadir. 

 

“Usul Menteri Kewangan berbunyi bahawa Dewan ini mengikut Subseksyen 4 (3) Akta  Kumpulan Wang Pembangunan 1966 (Akta 406), membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada RM69 bilion dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2021 dan bagi tujuan butiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah maksud pembangunan atau P.

 

“....Dalam senarai anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 26, tahun 2020, adalah diuntukkan di bawah maksud-maksud yang berkenaan, jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan 6 dan 7 senarai tersebut hendaklah disahkan. 

 

“Lebih suara kata setuju, maka usul disetujukan,” kata Azhar Azizan.

 

Baca : Dewan rakyat luluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar 

 

RUU itu kini akan dibentangkan di Dewan Negara untuk dibahaskan dan diundi.

 

Ini bermakna, Perdana Menteri, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengekalkan sokongan dalam Dewan Rakyat. 

 

Dalam masa sama, spekulasi yang dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjangkakan kerajaan di bawah pemerintahan Muhyiddin tumbang hari ini juga gagal. 

 


Beliau dan seteru lamanya, Tengku Razaleigh Hamzah dalam sidang akhbar bersama semalam menetapkan pendirian untuk tidak menyokong Belanjawan 2021 dan menawarkan kepakaran dan pengalaman mereka untuk merancakkan ekonomi rakyat. 

 

Ironinya, Ahli Parlimen yang tidak hadir ketika pengundian bacaan ketiga Belanjawan 2021 difahamkan merupakan Tengku Razaleigh yang memegang Parlimen Gua Musang.

 

Sejurus spekulasi itu tersebar luas, pasaran saham tempatan menyaksikan penurunan lebih 20 mata apabila ditutup semalam. 

 

Indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI pada awal dagangan pagi ini terus menjunam apabila dibuka lebih rendah.

 

Sejak Muhyiddin berperanan sebagai Perdana Menteri apabila jawatan itu ditinggal ‘kosong’ setelah Mahathir meletakkan jawatan pada awal tahun ini, beliau berdepan pelbagai cabaran dari setiap penjuru kerana didakwa menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’.

 

Jolokan itu dijadikan ‘peluru’ oleh pembangkang untuk meruntuhkan blok gabungan kerajaan terdiri daripada UMNO, Pas, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

 

Cubaan pertama adalah pada September lalu apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendakwa kerajaan PN bakal runtuh apabila beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

 

Tidak lama kemudian, ketika negara menyaksikan kes jangkitan COVID-19 mencanak semula dengan tekanan krisis kewangan negara, Muhyiddin mengambil langkah untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyatakan hasrat untuk mengisytiharkan darurat pemerintahan. 

 

Usaha berkenaan dikatakan sebagai langkah untuk memastikan tiada kekacauan politik yang dibangkitkan dalam percubaan menjatuhkan pemerintahan PN, malah ketika itu pembentangan bacaan pertama Belanjawan 2021 semakin hampir.

 

Bagaimanapun, Sultan Abdullah menolak hasrat berkenaan, sebaliknya baginda menitahkan supaya Ahli Parlimen untuk memberi kerjasama dan menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu. 

 

Peruntukan sehingga RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menjadi perdebatan hangat terutama dalam kalangan pembangkang.

 

Bagaimanapun, semasa perbahasan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar, beberapa Ahli Parlimen berpendirian untuk mengingkar titah baginda untuk menyokong peruntukan bajet itu.

 

Ini termasuk daripada blok gabungan kerajaan sendiri yang mahu menyokong bajet itu dengan syarat supaya beberapa pindaan dibuat. 

 

Ahli Parlimen Pekan dari Barisan Nasional (BN) membangkitkan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mendesak untuk moratorium dilanjutkan.

 

Malah, apabila tiba sesi penggulungan dan undian Belanjawan 2021 pada peringkat dasar pada 26 November lalu, beberapa Ahli Parlimen bertindak untuk mencelah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sehingga keadaan menjadi 'kecoh'.

 

Para penganalisis dan firma penyelidikan telah memberi amaran impak besar sekiranya belanjawan itu tidak diluluskan kerana peruntukan berkenaan menjadi satu-satunya harapan suntikan fiskal untuk merancakkan kembali ekonomi negara selepas pemberian pakej rangsangan dan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 1.75%.

 

Bagaimanapun, sokongan majoriti dengan lebih tiga undi untuk Belanjawan 2021 selepas bacaan ketiga hari ini membuktikan Muhyiddin masih menerima sokongan utuh untuk memerintah negara. - DagangNews.com