KUALA LUMPUR 5 Mac - Usahawan B40 disarankan untuk memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) bagi membolehkan perniagaan mereka menerima pelbagai kelebihan yang disediakan kerajaan.
Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Johor, Sri Nor Indah Sarmon berkata, pendaftaran perniagaan itu penting bagi memudahkan usahawan memohon pelbagai dana ditawarkan selain memberi keyakinan kepada pelanggan mereka.
Beliau berkata, menerusi skim itu juga, peniagaan boleh mempertahankan hak mereka berdasarkan undang-undang sekiranya berlaku perkara yang tidak diigini.
"Tidak ramai usahawan yang memiliki kesedaran untuk mendaftarkan perniagaan mereka dan hanya mengetahui kepentinannya apabila ingin mendapatkan bantuan.
"Kebiasaanya agensi atau bank yang menawarkan bantuan akan meminta bukti pendaftaran bagi perniagaan yang aktif dan keadaan akan menjadi sukar apabila perniagaan itu tidak berdaftar," katanya kepada Bernama semasa Program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana, Johor Bahru.
Sri Nor Indah berkata, proses mendaftarkan perniagaan adalah mudah dan ia boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan ezbiz.ssm.com.my.
Menerusi SPPP, usahawan dikecualikan yuran sebanyak RM30 untuk pendaftaran perniagaan milikan tunggal menggunakan nama sendiri, RM60 (pendaftaran perniagaan milikan tunggal atau perniagaan perkongsian) serta RM10 (cetakan maklumat perniagaan).
“Selain golongan B40, SPPP turut disasarkan kepada usahawan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa dan kami berharap dapat menghebahkan kemudahan ini secara meluas kepada lebih ramai usahawan setempat melalui AKM,” katanya. - DagangNews.com