IPOH 15 Sept - Penyertaan usahawan Perak dalam Ekspo Malaysia Fest 2022 di Singapore Expo, Changi bulan lalu disifatkan berjaya apabila mencatat jualan melebihi sasaran.
Jualan keseluruhan usahawan Perak mencatatkan sebanyak RM106,768.70 atau SD33,055 berbanding RM64,500 (SGD20,000) pada edisi sebelumnya.
Keseluruhannya sebanyak 220 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai ekspo itu bagi mempromosi dan memasarkan produk melambangkan negeri-negeri termasuk destinasi pelancongan serta kraftangan.
Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, peningkatan nilai jualan kira-kira RM42,000 itu merupakan angka yang sangat baik.
Menurut beliau, peningkatan itu membuktikan bahawa PKS tempatan boleh memacu jualan dalam cabaran fasa endemik.
"Pada penyertaan kali ini kita membawa 11 usahawan atau syarikat yang semuanya mengusahakan produk makanan termasuk prduk jenis siap dimakan (ready to eat).
"Selepas kali terakhir diadakan pada 2019, memang ekspo kali ini sangat dinanti-nantikan oleh warga Singapura.
"Jadi, kesempatan ini juga sebenarnya memberi peluang yang baik dan pada masa sama dapat memperkenalkan lebih banyak produk usahawan negeri Perak," ujarnya ketika ditemui DagangNews.com.
Antara produk Perak yang dibawa ke Singapura ialah pelbagai jenis sambal keluaran syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd., kuih peneram dan bahulu (Nab Food Industries), kuah kacang segera (Jamilah Mansor Enterprise) dan pengeluar biskut kelapa, biskut sagun dan biskut lutut (Shahrinie Food Industries).
Turut memikat pelanggan Kota Singa ialah produk pes rendang tok dan rendang tok sedia untuk dimakan keluaran Royale Rendang serta pengedar kacang putih (Leo Snacks & Nuts Industries).
Jelas Mohamad Rozlan, sambutan amat hebat warga Singapura ke pameran tersebut menunjukkan produk usahawan Perak sememangnya mendapat tempat di sana.
"Pengunjung hadir tidak putus-putus. Bagi pihak STeP, ini merupakan inisiatif kerajaan negeri Perak untuk memajukan usahawan kita menembusi pasaran luar.
"Penglibatan usahawan Perak juga membolehkan mereka membina rangkaian perniagaan yang lebih luas," ujarnya. - DagangNews.com