Usahawan PMKS Terengganu sambut baik cadangan inisiatif Majlis Pemulihan Negara bantu usahawan | DagangNews Skip to main content

Usahawan PMKS Terengganu sambut baik cadangan inisiatif Majlis Pemulihan Negara bantu usahawan

oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 3 Nov - Pemilik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyambut baik cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya moratorium khas diberikan kepada usahawan yang masih terkesan demi kelangsungan perniagaan mereka.

 

Usahawan-usahawan yang dihubungi DagangNews.com mengakui semua inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sepanjang  tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu sangat membantu mereka bertahan dalam industri dan berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan lagi seperti cadangan MPN.

 

Pengarah Urusan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata, pandemik COVID-19 menyebabkan  syarikatnya tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa sekaligus meninggalkan impak yang sangat mendalam kepada kewangan syarikat.

 

 

Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin
               Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin

 

 

Menurutnya, Noor Arfa adalah antara ratusan ribu syarikat yang terhutang budi dengan kerajaan kerana dapat mengharungi tempoh mencabar itu setelah menerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang dilaksanakan untuk membantu usahawan PMKS.

 

"Ia banyak membantu syarikat yang tidak mencatat keuntungan ketika itu. GKP meringankan beban kewangan syarikat untuk membayar gaji pekerja.

 

"Pelaksanaan strategi Pelan Pemulihan Negara secara berperingkat selepas itu mula memberi sinar baharu buat syarikat kerana operasi perniagaan kembali pulih beransur-ansur," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

 

noor arfa
Noor Arfa sentiasa inovatif dalam menghasilkan produk baharu mengikut rekaan terkini yang lebih segar untuk memenuhi selera pelanggan.

 

 

Beliau yang mewarisi empayar syarikat pengeluar batik songket dan sutera dari ayahnya itu berkata buat masa sekarang, tahap kewangan Noor Arfa masih stabil dan berada dalam kawalan hasil beberapa strategi yang dijalankan.

 

"Namun, saya yakin masih ramai usahawan PMKS di luar sana yang memerlukan bantuan moratorium khas pasca pandemik COVID-19 untuk meneruskan perniagaan," katanya yang mempunyai 62 pekerja anak tempatan ketika ini.

 

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkongsi lima cadangan utama MPN kepada kerajaan terutamanya isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan, serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

 

Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob
                  Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob

 

 

Antara cadangannya ialah supaya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama penglibatan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada usahawan terjejas untuk merancakkan semula industri PMKS negara.

 

Pemilik bengkel baik pulih kenderaan dan jentera berat, ZES Aircond & Auto Service di Kemaman, Wan Norhayati Tun Abu Bakar, berkata, pelaksanaan PKP menyebabkan banyak kenderaan pelanggan tergendala dan lambat disiapkan mengikut jadual servis yang sepatutnya.

 

"Lebih memburukkan keadaan kerana pelanggan tidak mempunyai bajet mencukupi untuk membaiki kerosakan menyebabkan mereka  hanya membuat baik pulih yang minima dan benar-benar penting sahaja.

 

"Walaupun bengkel dibenarkan beroperasi semasa PKP, namun tempoh masa yang terhad menyebabkan kualiti perkhidmatan menurun seterusnya mengakibatkan aliran tunai syarikat tersekat," katanya yang sangat buntu ketika tempoh getir itu.

 

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana syarikatnya mendapat dua bantuan kerajaan ketika PKP iaitu Program Subsidi Upah dan Penjana Kerjaya melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Program Insentif Pengambilan Pekerja).

 

"Nilai dua bantuan itu yang berjumlah RM44,400 sangat membantu untuk kelangsungan syarikat dalam membayar sewa, membayar gaji lapan pekerja dan membuat pembelian stok bagi melancarkan semula operasi bengkel. 

 

 

MPN
Wan Norhayati (tengah) bersama kakitangan bengkelnya di Bukit Kuang, Kemaman Terengganu.

 

 

"Semua bantuan ini umpama ‘talian hayat’ syarikat dalam mengharungi waktu sukar ketika PKP," katanya yang menubuhkan syarikat itu  pada tahun 2017 dengan menawarkan perkhidmatan pemasangan pendingin hawa dan pendawaian elektrik, penyelenggaraan penyaman udara serta baik pulih kereta termasuk lori dan jentera berat.

 

Beliau memaklumkan hanya selepas Pelan Pemulihan Negara diumumkan kerajaan, operasi bengkelnya mula mendapat permintaan yang tinggi secara konsisten.

 

"Jualan tahunan pada 2021 meningkat sebanyak 47 peratus manakala keuntungan syarikat pula meningkat tiga peratus.

 

"Namun, syarikat masih menghadapi masalah aliran tunai yang menyukarkan operasi kerana peningkatan harga kos barang yang mendadak ketika ini," yang berharap moratorium khas itu dapat direalisasikan segera untuk membantu usahawan yang masih terjejas.

 

 

Suzana Salleh
            Suzana Salleh

 

 

Cadangan MPN itu turut disambut baik oleh pemilik kafe premium, Ziq Bakery & Cake Sdn Bhd, Suzana Salleh memandangkan kos operasi perniagaan terus melambung tinggi ketika ini.

 

"Selepas PKP, golongan usahawan sangat terkesan dengan kenaikan kos bahan mentah yang disebabkan faktor global.

 

"Dalam masa sama, kami masih mahu menawarkan produk dan perkhidmatan yang harganya berpatutan untuk rakyat kerana memahami situasi ekonomi rakyat masih tidak begitu memberangsangkan.

 

 

MPN
Ziq Bakery & Cake, Kuala Terengganu yang diusahakan oleh Suzana Salleh.

 

 

"Oleh itu, kami sangat berharap agar kerajaan pun turut sama mendengar suara usahawan PMKS, mencari solusi bagi mengekalkan harga barang mentah dan meneruskan inisiatif sedia ada serta melanjutkan moratorium khas dalam masa terdekat," katanya yang mempunyai 65 pekerja di dua cawangan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. - DagangNews.com