Usahawan sektor pelancongan dan makanan akan kembali bernafas | DagangNews Skip to main content

Usahawan sektor pelancongan dan makanan akan kembali bernafas

Penduduk fasa 2 dan 3 dibenarkan dine-in apabila kelonggaran diberikan kepada penerima vaksin lengkap. - Gambar MalayMail/Farhan Najib
 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyifatkan kelonggaran yang diberikan kepada penerima vaksin lengkap mulai esok dapat membantu menghidupkan kembali sektor keusahawanan. 

 

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini terutamanya membabitkan usahawan yang mengusahakan industri makanan dan mereka yang menjalankan perniagaan pelancongan seperti inap desa. 

 

Tambahan pula, katanya, kebanyakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) amat bergantung kepada sokongan pelanggan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

 

"Pengumuman ini merupakan langkah yang tepat bagi membantu usahawan termasuk PMKS untuk menggerakkan kembali perniagaan mereka dalam tempoh yang mencabar ini.

 

"PMKS mewakili lebih 1.15 juta pada 2020, memberi sumbangan yang amat signifikan dalam pembangunan sosio ekonomi negara, di mana ia menyumbang kepada hampir separuh guna tenaga di negara ini iaitu sebanyak 7.3 juta orang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan kepada penerima lengkap 2 dos vaksin COVID-19, antaranya kebenaran dine-in dan aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri di bawah fasa kedua dan ketiga Pelan Pemulihan Negara.

 

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac) manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

 

Wan Junaidi berkata, tidak dinafikan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi semakin menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan. 

 

"Ini terbukti apabila rakyat menyahut panggilan dan menyambut baik seruan kerajaan ini untuk menerima vaksinasi. 

 

"Adalah diharapkan PMKS tidak terkecuali daripada mendapatkan vaksinasi ini," menurut beliau. - DagangNews.com