UUE Holdings sasar kumpul RM29.98 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

UUE Holdings sasar kumpul RM29.98 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - UUE Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2 Julai 2024 menyasarkan untuk mengumpul RM29.98 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Sasaran itu adalah menerusi terbitan 124.9 juta saham baharu pada harga IPO 24 sen sesaham.

 

Berdasarkan modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 608.3 juta saham dan harga IPO tersebut, ia akan memiliki modal pasaran sebanyak RM145.99 juta.

 

Kumpulan itu dan anak syarikatnya terlibat dalam penyediaan rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah, dengan tumpuan pada pemasangan paip menggunakan kaedah penggerudian arah mendatar (HDD) sebagai tambahan kepada pemotongan terbuka dan mikro.

 

Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Kenny Ting berkata, pihaknya berhasrat membelanjakan lebih 50% daripada hasil kasar yang diperoleh untuk pembelian jentera dan peralatan baharu daripada mesin HDD, lori dan jengkaut. 

 

Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk memperoleh mesin pelantar HDD Maxi pertama yang akan menandakan usaha pertama mereka dalam kerja dasar laut.

 

"Kami juga memperuntukkan lebih 36% untuk modal kerja yang akan menyokong projek sedia ada dan baharu yang dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kenny berkata, rumusan kumpulan itu ditawarkan di wilayah selatan dan tengah Semenanjung Malaysia dan Singapura dengan tumpuan dalam industri elektrik dan telekomunikasi. 

 

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk meneroka peluang baharu di kawasan timur Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah RM223.4 juta buku pesanan, pihaknya berjaya mendapatkan projek bernilai hampir RM84 juta di wilayah timur.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan M & A Equity Holdings Bhd, Datuk Bill Tan berkata, menerusi kepakaran dan pengalaman Lembaga Pengarah UUE, pihaknyaa yakin penyenaraian itu akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan masa depan kumpulan itu. 

 

"M & A Securities Sdn Bhd berbangga untuk berkhidmat sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan," katanya.- DagangNews.com