Uzir dituduh atas 3 kesalahan aktiviti pengurusan dana - SC | DagangNews Skip to main content

Uzir dituduh atas 3 kesalahan aktiviti pengurusan dana - SC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap Uzir Abdul Samad di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi semalam atas tiga kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

 

Uzir, 49, selama ini bebas sejak 2016, ditahan sekitar Isnin lalu di kediamannya di Selangor hasil maklumat daripada pihak awam, menurut suruhanjaya itu.

 

“SC telah menyenaraikan Uzir sebagai individu yang dikehendaki sejak 2016 selepas mendapat waran tangkap terhadapnya.

 

“Uzir yang merupakan bekas pengarah UAS Bistari Management Sdn. Bhd. dikenakan pertuduhan kerana mengaku sebagai pengurus dana walhal dia tidak dilesenkan oleh SC untuk menjalankan aktiviti pengurusan dana yang dikawal selia. 

 

“Ini merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya,” jelas SC dalam sebuah kenyataan semalam. 

 

Sekitar 19 Februari lalu, SC memohon maklumat daripada orang ramai untuk mengesan Uzir, juga dikenali sebagai Haji Uzir yang merupakan suspek dalam siasatan suruhanjaya itu berhubung aktiviti nasihat pelaburan tanpa lesen.

 

Baca : SC ‘buru’ Uzir Abdul Samad

 

Menurut SC yang mendedahkan perkara itu menerusi siaran media, Uzir telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh suruhanjaya itu berhubung kesalahan di bawah akta sama.

 

Sementara itu, kata SC, Uzir  turut dikenakan pertuduhan atas dua kesalahan di bawah seksyen 362(3) CMSA kerana menggunakan gelaran 'Pengurus Dana' dan 'Pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) Suruhanjaya Sekuriti' dengan tujuan mendapatkan kepercayaan bahawa dia dilesenkan untuk menjalankan perniagaan pengurusan dana. 

 

Kesalahan-kesalahan ini boleh membawa kepada hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, bagi setiap kesalahan, tambah SC.

 

“Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Aizatul Akmal Maharani bersetuju dengan pengemukaan pihak pendakwaan bahawa Uzir merupakan individu yang berisiko melarikan diri, dan menolak ikat jamin Uzir sementara menunggu perbicaraan terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut,” ujar SC lanjut. - DagangNews.com