Uzma Berhad lantik Farisha Pawan Teh anggotai Lembaga Pengarah | DagangNews Skip to main content

Uzma Berhad lantik Farisha Pawan Teh anggotai Lembaga Pengarah

Datuk Farisha Pawan Teh
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Feb – Penasihat Komunikasi kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Farisha Pawan Teh dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Uzma Berhad berkuatkuasa 14 Februari 2022.

 

Dalam pemakluman ke Bursa Malaysia, Uzma menyatakan bahawa Farisha, 52, dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat itu atas pengalaman luas beliau sejak 30 tahun lalu di dalam sektor awam dan swasta.

 

Farisha yang memiliki ijazah kejuruteraan kimia dari UTM, memulakan kerjayanya di Unilever Malaysia, sebuah syarikat FMCG (barangan pengguna bergerak pantas) dengan menguruskan jenama global ini dan membina strategi pemasaran.

 

‘’Di samping menjadi penasihat komunikasi kepada Menteri dan juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kepimpinan Wanita, Farisha juga merupakan rakan kongsi kanan dan pengasas firma perunding penyelesaian bersepadu jenama, Stand Out Sdn. Bhd. yang menawarkan khidmat di dalam komunikasi dan penjenamaan kepada pelbagai sektor pelanggan,’’ kata Uzma.

 

Uzma Berhad merupakan syarikat penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas.

 

BERITA BERKAITAN: Kontrak Exxonmobil dijangka beri untung bersih antara RM22 juta hingga RM28 juta kepada Uzma

 

Di samping Unilever  di mana beliau berkhidmat selama 13 tahun, Farisha juga pernah bekerja di Nestle Malaysia, Sistem Televisyen Malaysia Sdn. Bhd., TV3 Primeworks Studios Sdn. Bhd.

 

Dari November 2011 hingga Mei 2018, Farisha bertugas sebagai Pengarah, Divisyen Penjenamaan Negara, Pejabat Perdana Menteri.

 

Pada Jun 2020 hingga Jun 2021, Farisha menjadi penasihat komunikasi kepada Menteri Belia dan Sukan, dan pada Julai 2021 sehingga kini, bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – DagangNews.com