KUALA LUMPUR 21 Mac - Lanjutan kontrak bagi penyediaan perkhidmatan unit kerja hidraulik (HWU) di Thailand diunjur menghasilkan margin bersih antara 7% hingga 8% kepada Uzma Bhd.
Kenanga Research berkata, berdasarkan kepada kontrak terdahulu, kerja-kerja HWU kebiasaannya menghasilkan pendapatan antara RM15 juta hingga RM20 juta secara keseluruhan bagi tempoh dua tahun.
"Kontrak terbaharu itu meningkatkan kemenangan terkumpulan FY24 kumpulan kepada RM715 juta berbanding andaian kejayaan setahun penuh kami sebanyak RM1 bilion," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Uzma terima lanjutan kontrak sedia perkhidmatan HWU di Thailand
Terdahulu, lanjutan kontrak terbabit diperoleh anak syarikatnya di Thailand, MMSVS Group Holding Co. Ltd. Thailand daripada Medco Energi Thailand (Bualuang) Ltd [Medco].
Skop kerja tersebut terdiri daripada penyediaan HWU dan perkhidmatan peralatan berkaitan yang diperlukan untuk aktiviti kerja pulih dan perkhidmatan telaga di luar pesisir Thailand.
Kontrak itu berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun mulai 20 Mac 2024 sehingga 19 Mac 2026.
Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana menjadi penerima manfaat daripada kitaran naik semasa dalam aktiviti huluan yang membawa kepada peningkatan aliran kontrak sektor minyak dan gas (O&G).
Katanya, perniagaannya dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) meningkatkan daya tarikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan dan membantu aliran pendapatannya pada masa hadapan.
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham," katanya. - DagangNews.com