Vaksin COVID-19: China utamakan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19: China utamakan Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Okt. - China telah bersetuju untuk menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama vaksin COVID-19 yang dikeluarkan negara itu.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi sidang akhbar bersama selepas perjumpaan dengan Menteri Luar China, Wang Yi.

“Kami mengalu-alukan dan menghargai komitmen China untuk menyediakan Malaysia dengan vaksin COVID-19 keluarannya, setelah berjaya dibangunkan dan menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama.

“Kami juga mengalu-alukan persetujuan China dalam menggalakkan syarikat di negara itu untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi di Malaysia dalam kajian dan pembangunan serta pengedaran vaksin,” katanya menurut laporan Bernama. 

Dalam pada itu, Malaysia juga akan mengikut rapat pembangunan vaksin COVID-19 memandangkan ia adalah keutamaan kerajaan, kata Hishammuddin. 

“Sekiranya kita ingin menemui jalan untuk menangani COVID-19, hanya ada dua cara iaitu mencegahnya menerusi vaksin dan menyembuhnya menerusi perubatan,” tambah beliau. 

China mengumumkan bahawa vaksin itu sedang dibangunkan dan dijangka sedia digunakan kepada orang awam seawal November ini. 

“Lawatan oleh Wang Yi ke Kuala Lumpur merupakan platform baharu untuk kita memastikan negara tidak ketinggalan dalam kerjasama dan koordinasi vaksin.

“Kementerian Luar perlu terus berunding dan memastikan Malaysia menjalin persetujuan diplomatik dengan rakan sejawat untuk memastikan ketika kita membuat keputusan berdasarkan percubaan dan ketika diumumkan, Malaysia tidak akan ketinggalan,” katanya. - DagangNews.com