Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Pasaran bon Malaysia pada November menyaksikan hasil lebih tinggi berbanding Oktober setelah kembalinya sentimen risiko.
Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) berkata, pelabur domestik mengurangkan pegangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) memandangkan prospek pemulihan ekonomi lebih pantas dan mengurangkan jangkaan penurunan kadar pada masa hadapan.
Katanya, sentimen risiko terutamanya didorong oleh perkembangan vaksin COVID-19 apabila beberapa vaksin terbukti berkesan.
"Kecenderungan risiko semakin bertambah baik apabila menyaksikan pelabur berpusu-pusu ke arah aset yang lebih berisiko seperti ekuiti.
"Sentimen juga disokong oleh pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan data suku ketiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada suku ketiga, Malaysia merekodkan penguncupan KDNK yang lebih kecil pada 2.7% berbanding 17.1% pada suku kedua 2020.
Menurut MARC, kerugian dalam MGS juga didorong oleh kelulusan Belanjawan 2021 pada tahap dasar dan kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa ia mungkin perlu mencairkan aset untuk membiayai pengeluaran i-Sinar.
"Faktor-faktor ini telah mengukuhkan jangkaan bekalan MGS yang lebih tinggi untuk 2021," katanya.
Setakat akhir November, hasil MGS bagi keluk 3 dan 15 tahun adalah tinggi pada 15 hingga 24 mata manakala hasil tempoh akhir yang panjang juga tinggi 26 hingga 37 mata sehingga meningkatkan keluk.
Kedua-dua MGS bagi 3 dan 10 tahun berada pada 1.91% berbanding 1.76% dan 2.74% pada Oktober.
Jelas agensi penarafan itu, pelabur asing terus menjadi pembeli bersih bagi bon tempatan untuk bulan ketujuh berturut-turut walaupun pada kadar perlahan.
"Minat pembelian juga disokong oleh keyakinan terhadap vaksin COVID-19, harga minyak mentah yang teguh dan persekitaran deflasi di Malaysia.
"Pada Oktober, inflasi CPI Malaysia berada pada -1.7% berbanding September, -1.4%," katanya.
MARC berkata, jumlah pegangan asing pada November meningkat RM1.9 bilion kepada RM219.4 bilion.
MGS terus menjadi penerima utama aliran asing diikuti Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII0).
Pegangan asing dalam MGS berkembang RM1.8 bilion kepada RM175 bilion, menyamai 40.1% daripada jumlah keseluruhan MGS. - DagangNews.com