Vaksin COVID-19 peluang ‘keuntungan’ jangka panjang Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 peluang ‘keuntungan’ jangka panjang Pharmaniaga

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pembuatan dan penghasilan vaksin COVID-19 menunjukkan potensi untuk memacu pertumbuhan jangka masa panjang syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).

Ketika ini, Pharmaniaga dalam perancangan untuk menjalinkan hubungan strategik dengan pembuat vaksin di peringkat global untuk mendaftar dan menjual vaksin yang sudah tersedia di Malaysia. 

CGS-CIMB Research berkata, langkah itu dijangka dapat menyumbang kepada perolehan syarikat seawal tahun kewangan 2021. 

“Pharmaniaga turut merancang untuk membina kemudahan jarum suntikan yang disediakan khas untuk vasksin (dijangka siap tahun kewangan 2022) dan seterusnya kemudahan pembuatan vaksin lengkap yang disasarkan siap menjelang tahun kewangan 2026, bergantung kepada usaha penyelidikan dan perkembangannya,” jelas CGS-CIMB menerusi laporan analisisnya. 

Pharmaniaga sebelum ini dilantik oleh kerajaan untuk mengisi dan membotolkan vaksin COVID-19.

Baca : Vaksin ‘percubaan’ COVID-19 dijangka siap 6 bulan lagi?

Syarikat itu percaya vaksin COVID-19 boleh dikeluarkan seawal suku pertama tahun 2021. 

Bagi proses pembotolan dan pengisian tersebut, Pharmaniaga menggunakan kilang suntikan volum kecil (SVI) miliknya di Puchong, Selangor.

“Kemudahan tersebut telah mendapatkan kelulusan dan merupakan satu-satunya SVI di Malaysia yang diiktiraf Amalan Perkilangan yang Baik (GMP) oleh Kesatuan Eropah (EU).

“Pharmaniaga telah mula menguji kemudahan tersebut dan menunggu penghasilan vaksin sebelum mulakan persediaan penghasilannya yang dijangka siap seawal suku pertama tahun hadapan,” tambah CSG-CIMB. 

Baca : CGS-CIMB saran ‘pegang’ saham Pharmaniaga

Bagaimanapun, CGS-CIMB menurunkan penarafan harga saham Pharmaniaga daripada ‘pegang’ kepada ‘kurangkan’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM4.28.

“Walaupun menurut kami prospek Pharmaniaga nampak menarik, namun kami menurunkan penarafan tersebut kerana berpendapat lonjakan harga sahamnya baru-baru ini telah mendahului nilai asasnya (fundamental),” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com