Vaksin diberi percuma, lapor jika ada yang menjual - KJ | DagangNews Skip to main content

Vaksin diberi percuma, lapor jika ada yang menjual - KJ

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia.

 

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, suntikan secara percuma itu turut terpakai untuk program PPV Industri di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

 

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa suntikan vaksin di bawah PICK adalah diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia.

 

"Tiada bayaran boleh dikenakan kepada orang ramai yang pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah pengamal perubatan swasta untuk imunisasi COVID-19. 

 

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan sesiapa yang menawarkan pembelian vaksin dan sebaliknya untuk terus melaporkan perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin.

 

 

Semalam, Berita Harian melaporkan penahanan tiga individu  dalam serbuan berasingan di Putrajaya dan Brickfields selepas disyaki terbabit dalam penawaran penjualan vaksin COVID-19.

 

Hasil siasatan awal mendapati suspek menawarkan harga RM420 bagi dos suntikan vaksin COVID-19.

 

Mengulas lanjut, beliau menambah, tiada kos rundingan juga boleh dikenakan oleh pengamal perubatan swasta ke atas orang ramai yang hadir atas janji temu yang telah diberikan untuk divaksinasi.

 

Suntikan secara percuma juga turut terpakai untuk program Pikas yang telah digerakkan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 melalui Fasa 4 PICK.

 

"Vaksin dibekalkan secara percuma di bawah Pikas. Kos pentadbiran vaksin perlu ditanggung majikan di mana kos tersebut merangkumi penyediaan PPV dikendalikan pihak swasta dan perkhidmatan pengamal perubatan swasta.

 

"Majikan dilarang memindahkan kos pentadbiran vaksin kepada pekerja melalui potongan gaji pekerja berkenaan," ujar beliau lagi. - DagangNews.com