Vaksin 'talian hayat' ekonomi | DagangNews Skip to main content

Vaksin 'talian hayat' ekonomi

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

Mungkin ramai yang lega, mungkin juga ramai yang sudah menduga bahawa PKP 2.0 terus dilanjutkan hingga 4 Mac 2021.

 

Bagaimanapun, lanjutan selama dua minggu itu hanya melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

 

Negeri-negeri lain yang dikenakan PKP sebelum ini telah diubah kepada PKP Bersyarat (PKPB), manakala Perlis pula adalah satu-satunya negeri yang diberi status PKP Pemulihan (PKPP).

 

Jika dilihat secara menyeluruh, pengumuman tersebut sedikit-sebanyak membuka ruang kepada pemulihan ekonomi negara kita.

 

Walaupun masih tidak dibenar rentas daerah dan negeri, had perjalanan melebihi 10km telah dibenarkan sekali gus membolehkan orang ramai di negeri PKP meneruskan pekerjaan atau aktiviti-aktiviti lain.

 

Namun, sejauh mana perkara ini melegakan perniagaan untuk terus beroperasi dengan lebih tenang? Atau sekadar khabar gembira yang sementara?

 

Bagi Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, lanjutan PKP 2.0 yang dibuat kerajaan itu adalah perlu berdasarkan kepada kes-kes baharu yang masih tinggi di beberapa negeri tersebut.

 

Bagaimanapun, lanjutan yang dibuat itu diharap dapat menurunkan kadar jangkitan baharu sekali gus dapat 'keluar' daripada PKP kelak.

 

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan 

 

"Kita juga akan ada program vaksinasi, kita harap program vaksinasi berkenaan memberi peluang kepada ramai penerima mencecah 80% agar kita dapat wujudkan 'kelompok imuniti' yang dapat mengurangkan risiko jangkitan.

 

"Kalau kita lihat operasi syarikat masih belum 100%, masih pada kadar 30% di negeri-negeri PKP bersama peraturan dan SOP tertentu. Keyakinan pengguna juga masih rendah yang menyebabkan kadar perbelanjaan kurang dan ekonomi perlahan.

 

"Dalam hal ini, kita harap kerajaan juga dapat tingkatkan rangsangan atau insentif selagi keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Mengulas berkaitan insentif tersebut, beliau berkata, kerajaan boleh memberi insentif sebagaimana yang diperkenalkan ke atas sektor automotif iaitu pengecualian cukai jualan.

 

Pengecualian cukai yang dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 itu membantu orang ramai untuk membeli kereta baharu dalam tempoh PKP.

 

Jelasnya, harapan tersebut juga dapat mengembangkan lagi ekonomi sekali gus membantu majikan swasta bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

 

"Adalah diharapkan agar Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dapat melaksanakan polisi-polisi yang proaktif untuk membolehkan majikan sektor swasta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

 

"Tanpa rangsangan dan tanpa insentif tertentu, sukar untuk kita wujudkan peluang pekerjaan baharu itu," tambahnya lagi.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang merupakan satu lagi langkah ke hadapan bagi menjayakan program vaksinasi terbesar di negara kita.

 

.
Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semalam.

 

Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 (Pfizer-BioNTech) pada 21 Februari dan akan memulakan program vaksinasi pada 26 Februari 2021.

 

Baca: Malaysia terima vaksin COVID-19 mulai 21 Februari ini

 

Hingga Februari 2021, Malaysia telah memperoleh akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar.

 

Ia membabitkan Pfizer-BioTech yang telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA, sebaliknya empat calon vaksin lain masih sedang diproses untuk kelulusan NPRA.

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa yang mana Fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan bermula pada 26 Februari sehingga April 2021. 

 

Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala Fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Febuari 2022.

 

Tambah Shamsuddin, program imunisasi tersebut diharap akan dapat mengembalikan keyakinan para pelabur untuk mengekalkan dan menambah pelaburan mereka di Malaysia terutamanya dalam pelaburan yang bernilai tinggi.

 

"Ia juga diharap dapat mengembalikan keyakinan para pengguna di Malaysia untuk mula berbelanja bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di pasaran dalam negeri," ujar beliau.

 

Program vaksinasi tersebut turut mendapat respon  pantas Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai sejak semalam.

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, beliau memberitahu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diumumkan kerajaan dijangka dapat memberi nafas baharu dalam pemulihan semula ekonomi negara.

 

Soh Thian Lai
Soh Thian Lai

 

"Kami mengharapkan pelaksanaan program yang efektif dan cepat. Jadi, sebagai sebuah negara, kita berkemampuan mempercepat pemulihan ekonomi sepenuhnya.

 

"Langkah kerajaan yang memasukkan penduduk bukan warga negara dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga adalah inisiatif yang cukup komprehensif memandangkan penduduk bukan warga negara juga memainkan peranan sama penting dalam menyokong aktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara," jelas beliau.

 

Selain beliau, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu turut mendapat perhatian firma penyelidik CGS-CIMB Research.

 

Penganalisisnya, Ivy Ng Lee Fang berkata, pasaran akan menilai semula dan beralih kepada saham-saham yang akan meraih manfaat daripada pemulihan ekonomi sekiranya program vaksinasi berjalan lancar serta menepati garis masa yang ditetapkan kerajaan.

 

"Keputusan kerajaan menamatkan PKP di negeri-negeri lain secara tidak langsung mengurangkan kebimbangan terhadap risiko pengurangan hasil korporat apabila pasaran berpendapat tindakan itu adalah positif..

 

"Namun, masih terdapat gangguan yang akan menjejaskan perancangan vaksinasi kerajaan, terutama kebimbangan terhadap jumlah dos vaksin yang mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi tempoh masa yang singkat.

 

"Ini kerana, kerajaan setakat ini hanya menyediakan garis masa yang terperinci bagi penghantaran vaksin Pfizer-Biotech, tetapi tidak melibatkan empat lagi jenis vaksin," jelasnya.

 

Bagi Malaysia, pesanan pertama bagi sejuta dos vaksin Pfizer akan tiba di Malaysia pada akhir Februari ini melibatkan 500,000 penerima (2 dos bagi setiap orang). 

 

Kemudiannya diikuti 1.7 juta dos lagi pada suku kedua 2021, 5.8 juta dos pada suku ketiga dan 4.3 juta dos suku berikutnya. 

 

"Kami percaya sekiranya program ini dilaksanakan dengan jayanya, ia menjadi faktor utama  yang akan meningkatkan sentimen pasaran," tambah beliau lagi. - DagangNews.com