Vale anjur program 'Mother Bakers' bantu golongan ibu tunggal di Manjung | DagangNews Skip to main content

Vale anjur program 'Mother Bakers' bantu golongan ibu tunggal di Manjung

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Vale meluaskan sokongannya kepada komuniti ibu tunggal di daerah Manjung, Perak dengan melancarkan inisiatif perintis ‘Mother Bakers’ hari ini.


  
Inisiatif itu, yang mengajar peserta kemahiran memasak secara profesional, adalah kesinambungan usaha berterusan Vale sejak tahun lalu untuk memperbaiki keadaan sosioekonomi ibu tunggal yang tinggal di daerah itu.

 

Secara keseluruhannya, jangkauan komuniti ibu tunggal Vale telah memuncak dengan lebih RM86,000 pelaburan sosial untuk program seperti sokongan kesihatan mental, bantuan kembali ke sekolah, bantuan makanan dan program peningkatan kemahiran.


 
Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Araújo berkata, ketika mereka bergerak ke arah masa depan pasca-pandemik, mereka mengalihkan fokus pelaburan sosio-alam sekitarnya untuk mengutamakan inisiatif yang boleh memberikan impak jangka panjang kepada mata pencarian penerima. 

 

"Inisiatif ‘Mother Bakers’ adalah salah satu daripadanya, dan kami berharap untuk melancarkan lebih banyak lagi pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


  
Inisiatif tersebut mengikuti strategi peningkatan kemahiran serupa yang diguna pakai program perintis Vale ‘Manjung Menjahit’, yang menyediakan latihan profesional untuk ibu tunggal yang berminat untuk meneruskan perniagaan membuat tirai di rumah.


  
Presiden Persatuan Ibu Tunggal (Parlimen Lumut), Zarina Mohamed Ekhwan pula berkata, kelas jahitan yang dijalankan Disember tahun lalu berjaya meningkatkan pendapatan peserta, malah ada antara mereka melaporkan pendapatan mereka meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua bulan.

 

 

vale
Ketua Pegawai Tadbir Vale, Afzal Mohsin (tengah) bergambar bersama para peserta Mother Bakers

 

 

vale


  

Di peringkat global, Vale telah mengumumkan komitmennya untuk mengeluarkan 500,000 orang daripada kemiskinan tegar menjelang tahun 2030 awal tahun ini.


  
Program peningkatan kemahiran untuk ibu tunggal di Manjung juga merupakan sebahagian daripada komitmen bantuan pandemik Vale Bersama Manjung bernilai RM2 juta, yang turut memberi manfaat kepada komuniti lain dari segi sosioekonomi, seperti kanak-kanak neurodivergen dan peniaga kecil di daerah itu.

 

 

vale

 

 

Sejak ia mula beroperasi di Teluk Rubiah sedekad lalu, Vale telah melabur hampir RM60 juta untuk pelbagai inisiatif sosio-alam sekitar di Malaysia, bukti komitmennya terhadap kehadiran yang mampan di negara tempat ia beroperasi. - DagangNews.com