VCI Global Limited ditutup AS$4.25 pada hari pertama dagangan di Pasaran Nasdaq | DagangNews Skip to main content

VCI Global Limited ditutup AS$4.25 pada hari pertama dagangan di Pasaran Nasdaq

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 April - VCI Global Limited, kumpulan perunding pelbagai disiplin dengan amalan nasihat utama dalam bidang perniagaan dan teknologi, telah memulakan dagangan saham biasanya di Pasaran Modal Nasdaq semalam.

 

Di bawah simbol ticker VCIG, saham syarikat tersebut ditutup pada hari pertama dagangan mereka di atas harga tawaran pada AS$4.25, iaitu menokok 25sen atau 6.25%.

 

Sesi dagangan NASDAQ dibuka pada pukul 10:30 malam dan ditutup pada 5:00 pagi waktu Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, pada 13 April 2023, syarikat telah menetapkan tawaran awam yang ditaja jamin komitmen teguh sebanyak 1,280,000 saham biasa pada harga tawaran awam AS$4.00 sesaham.

 

Hasil kasar kepada syarikat adalah AS$5,120,000 sebelum menolak diskaun taja jamin, komisen dan perbelanjaan tawaran lain, tambahnya.

 

Boustead Securities, LLC dan Sutter Securities, Inc. bertindak sebagai penaja jamin bagi tawaran komitmen teguh itu.

 

 

vci

 

 

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, VCI Global telah mengumumkan harga tawaran awam permulaannya dan telah memberikan pilihan 45 hari kepada penaja jamin untuk membeli sehingga 192,000 tambahan saham biasa syarikat pada harga tawaran awam AS$4.00 sesaham, ditolak diskaun taja jamin dan komisen untuk menampung lebihan peruntukan, jika ada.

 

Penyata pendaftaran pada Borang F-1, seperti yang dipinda (No. Fail 333-268109), difailkan oleh syarikat dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat, telah diisytiharkan berkuat kuasa pada 30 Mac 2023.

 

VCI Global ialah kumpulan perunding pelbagai disiplin dengan amalan nasihat utama dalam bidang perniagaan dan teknologi.

 

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan strategi perniagaan dan bilik lembaga, perkhidmatan perhubungan pelabur dan perkhidmatan perundingan teknologi.

 

Pelanggannya terdiri daripada perusahaan kecil sederhana dan agensi berkaitan kerajaan kepada syarikat dagangan awam merentasi pelbagai industri.

 

VCI Global beroperasi di Malaysia, dengan pelanggan kebanyakannya dari Malaysia tetapi juga memberi perkhidmatan kepada beberapa pelanggan dari China, Singapura dan AS. -DagangNew.com