[VIDEO] OMC Group lancar permainan blok rantai Omni Pets | DagangNews Skip to main content

[VIDEO] OMC Group lancar permainan blok rantai Omni Pets

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Anak syarikat AIO Synergy Holdings Berhad, OMC Group Sdn. Bhd. (OMC Group) menawarkan kaedah pembelajaran blok rantai (blockchain) yang menyeronokkan menerusi permainan Omni Pets

Omni Pets merupakan permainan pengumpulan token digital unik dalam bentuk telur dan haiwan peliharaan yang boleh didagangkan menerusi blok rantai OMchain2.0.

Ketua Pegawai Eksekutif OMC Group, Jack Lee berkata, setiap Omni Pets diwakili oleh token unik di dalam platform blok rantai dan ia merupakan cara menarik untuk orang ramai memahami lebih baik mengenai teknologi itu.

“Di luar Omni Pets, penggunaan ERC-721 boleh digunakan untuk membayar menggunakan token aset lain, seperti koleksi karya seni, hartanah dan barang perhiasan. 

“Kami juga percaya bahawa teknologi blok rantai akan menawarkan suatu bentuk pemilikan yang diyakini ke atas aset digital dan kami mengorak langkah ke arah itu bersama Omni Pets,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini. 

Omni Pets adalah token digital dicipta menggunakan standard terbuka ERC-721 berdasarkan kepada protokol Ethereum dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain (non-fungible).

 

OMC Group
JACK LEE (tengah) ketika majlis pelancaran Omni Pets, hari ini. 

 

Dengan hanya 200 token digital unik ditawarkan setiap minggu dalam bentuk telur, `haiwan peliharaan’ itu apabila menetas perlu diberi penjagaan dan dibimbing kerana nilai dagangannya akan meningkat jika mereka `gembira’ dan ‘puas hati’.

`Haiwan peliharaan’ itu didatangkan dalam 16 reka bentuk meliputi perwatakan fizikal seperti jenis mata dan badan dengan warna dan corak berbeza serta mempunyai edisi terhad untuk musim perayaan atau acara khas. 

Ia boleh dibeli dengan mata wang di dalam permainan Omni Pets dikenali sebagai ‘wang emas’ yang bernilai AS$1 satu syiling emas. Mata wang permainan ini boleh dibeli dengan Bitcoin, Ether, US Dollar Tether dan OMCoin.

Aplikasi Omni Pets boleh dimuat turun di Android APK, IOS dan Google Play.

Selain pelancaran Omni Pets, OMC Group turut memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Uber Capital dan Whale Media, sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk meluaskan lagi capaian blok rantai selain mengumumkan perkongsian strategik dengan Wechain dan Malaysia Emerging Technology Association. - DagangNews.com