KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kempen 'Where You Shop Matters' yang dilancarkan oleh peneraju pembayaran digital, Visa bertujuan menggalakkan lagi penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah perniagaan digital selain membuka peluang kepada pengguna untuk menyokong usahawan tempatan.
Pengurus Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pihaknya kini mengfokuskan kepada usaha untuk membantu perniagaan kecil memulakan perjalanan pendigitalan termasuk menawarkan peralatan e-dagang kepada PKS.
"Kami juga akan berikan tawaran komersil Visa bagi membantu PKS memulakan, mengurus dan mengembangkan perniagaan atau stor dalam talian.
"Kempen tersebut juga adalah salah satu langkah kepada pengguna untuk menyokong pembangunan usahawan tempatan berikutan ancaman wabak COVID-19, jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Kempen 'Where You Shop Matters' itu seiring dengan matlamat kempen 'Beli Produk Malaysia' dan kempen Cuti-Cuti Malaysia untuk mengoptimumkan perjalanan domestik.
Inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada strategi Visa untuk menyokong sebanyak 10 juta perniagaan kecil dan mikro di Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Yayasan Visa turut terlibat menyumbang AS$210 juta sebagai dana sokongan kepada perniagaan kecil dan mikro.
Sumbangan tersebut adalah termasuk bantuan kecemasan berkaitan COVID-19 yang dibuat awal tahun ini.
Kerjasama dengan beberapa platform e-dagang lain turut dijalankan seperti BigCommerce, EastStore, SiteGiant dan StoreHub.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya turut teruja menjadi agensi yang turut sama bergandingan menjayakan inisiatif berkenaan bersama Visa.
"Kami mula melihat peningkatan dalam industri pelancongan tempatan sejak sekatan perjalanan mula dilonggarkan.
"Kami juga percaya usaha ini juga dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk membeli barangan dan perkhidmatan tempatan," jelas beliau. - DagangNews.com