Volcano peruntuk RM5 juta capex bagi 2021 | DagangNews Skip to main content

Volcano peruntuk RM5 juta capex bagi 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 April - Syarikat peneraju papan nama dan bahagian suntikan acuan plastik, Volcano Berhad memperuntukkan kira-kira RM5 juta perbelanjaan modal (capex) bagi tahun ini. 

 

Peruntukan itu bertujuan bagi menggerakkan proses penambahbaikan pengeluaran kumpulan itu, menurut Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Volcano, Khoo Boo Wui.

 

Dalam masa sama, Boo Wui optimis pandemik COVID-19 yang masih menular ketika ini tidak akan memberi impak signifkan ke atas usaha pengembangan perniagaan kumpulan itu pada masa akan datang.

 

“Impak COVID-19 (ke atas perniagaan kumpulan) telah berkurangan, dan kami menjangkakan pertumbuhan kumpulan syarikat akan kembali mencapai paras sebelum pandemik.

 

“Kami positif terhadap prestasi kumpulan bagi tahun 2021. Bagi suku pertama 2021 (1Q21), kami menjangkakan prestasi yang lebih baik, begitu juga bagi tahun kewangan penuh 2021 (FY21),” katanya pada sidang media secara maya penyenaraian Volcano di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini. 

 

Turut hadir, Pengarah Urusan Volcano, Datuk Ch’ng Huat Seng serta tiga agi Pengarah Eksekutif Volcano iaitu Yeap Guan Seng, Gan Yew Thiam dan Datuk Wong Tze Peng. 

 

Pada 16 Mac lalu, Volcano melancarkan prospektus bagi tawaran awal permulaan (IPO) kumpulan untuk disenaraikan di Pasaran ACE. 

 

Baca : Volcano lancar prospektus untuk IPO

 

Baca : IPO saham VOLCANO terlebih langganan 176.6 kali

 

Ini membabitkan 25 juta saham terbitan awam dan tawaran untuk jualan sebanyak RM35 juta pada kadar 35 sen sesaham dengan unjuran perolehan kasar bernilai RM8.75 juta. 

 

Hari ini, dagangan saham Volcano dibuka sepenuhnya pada kadar 70 sen, 35 sen atau 100% lebih tinggi daripada harga terbitannya sejajar dengan penyenarainnya di pasaran tersebut.

 

Boo Wui berkata, kumpulan itu menetapkan dasar dividen sebanyak 30% daripada keuntungan bersih syarikat, tertakluk kepada prestasi dan cadangan oleh lembaga pengarah.

 

Mengulas mengenai pengembangan kumpulan, Boo Wui melihat Thailand menawarkan peluang pertumbuhan besar selain daripada pasaran di Malaysia dan Singapura. 

 

“Thailand merupakan hab pembuatan di Asia Tenggara dan mereka menyaksikan banyak penubuhan syarikat multinasional di sana. Maka, kami melihat terdapat peluang untuk meraih lebih banyak pelanggan pada masa akan datang,” tambahnya lagi. 

 

Bagi pengembangan kumpulan di Thailand, Boo Wui berkata, kumpulan akan memperluas saiz kilangnya yang terletak di Rayong bagi meningkatkan tahap optimum mesin-mesin baharunya di sana. 

 

Baca : Pengembangan Volcano di Thailand baik untuk kumpulan - Maybank IB

 

Sebelum ini, Volcano mendedahkan Thailand dan Singapura selain pasaran asing lain menyumbang 95% kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. 

 

Syarikat multinasional menyumbang 90% daripada jualan termasuklah dari jenama peneraju seperti Bernina, Hewlett Packard, Fisher & Paykel Thailand, Donaldson Thailand, Sharp Indonesia dan Panasonic Thailand. - DagangNews.com