Vortecx sokong kandungan Palestin, kata CEO Danial Sariffudin | DagangNews Skip to main content

Vortecx sokong kandungan Palestin, kata CEO Danial Sariffudin

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Dalam menghadapi dunia tanpa sempadan pelbagai aplikasi media sosial diwujudkan sebagai alat untuk berkomunikasi selain media massa yang juga menjadi medium untuk penggunanya dalam menggali pelbagai informasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Vortecx, Danial Sariffudin menzahirkan sokongan beliau terhadap kandungan Palestin di platform media sosial Vortecx.

 

Beliau berkata jika sebelum ini CEO Telegram menyokong dan tidak akan menyekat kandungan Palestin, begitu juga dengan Vortecx.

 

 

Danial Sariffudin
Danial Sariffudin

 

 

Walaupun kebanyakan media sosial menyekat atau mengehadkan kandungan berkenaan Palestin, Danial berkata pengguna Vortecx digalakkan untuk memuat naik tentang keadaan di Palestin dan juga memberi informasi kepada pengguna lain tentang isu semasa di Palestin, bahkan mereka tidak akan menyekat kandungan Palestin.

 

"Jika kita lihat media sosial lain seperti Instagram, Facebook dan Tiktok, kandungan Palestin sangat terhad dan walaupun pengguna memuat naik kandungan Palestin di platform tersebut, penonton atau ‘engagement’ pasti akan berkurang.

 

“Itu tidak memberi keadilan kepada Palestin sedangkan mereka sedang berjuang habis-habisan. Selain itu, jika semua media sosial mengehadkan atau menyekat kandungan Palestin, di mana lagi kita sebagai orang awam ingin mendapatkan berita terkini berkenaan Palestin? 

 

 

vortecx

 

 

"Dengan memuat naik kandungan Palestin di Vortecx, secara tidak langsung pengguna memberi kesedaran awam kepada masyarakat terhadap apa yang terjadi di sana,” ujar Danial dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pada dasarnya, pengguna boleh berkongsi sebarang kejadian, politik, skandal, gosip, bencana alam dan hiburan dalam format video dan artikel.

 

Ironinya, aplikasi sosial media yang lain seperti Instagram, TikTok, X dan Facebook semuanya aplikasi dari luar negara tetapi Vortecx adalah milik tempatan dan dari Malaysia.

 

"Saya berharap akan mendapat seramai mungkin pengguna menggunakan aplikasi ini yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat setempat," katanya.  - DagangNews.com