VS Industry laksana pelan tindakan tangani isu buruh, jalankan audit pematuhan sosial pada Mac 2022 | DagangNews Skip to main content

VS Industry laksana pelan tindakan tangani isu buruh, jalankan audit pematuhan sosial pada Mac 2022

 

 


KUALA LUMPUR 20 Dis -  VS Industry Bhd. komited untuk menempatkan semua pekerja migrannya menerusi program penyusunan semula di bawah penggajian langsung kumpulan, sebagai sebahagian daripada pelan tindakan berikutan dialog dengan aktivitis hak buruh, Andy Hall. 

 

Dalam hal ini, beberapa jurang telah dikenal pasti untuk penambahbaikan dan VS Industry berazam untuk segera menangani cabaran ini bagi melindungi kebajikan pekerja asing. 

 

Semua pekerja migran yang diambil di bawah program ini hendaklah ditukar status pekerjaan dan imigresen mereka dengan segera di bawah penggajian langsung kumpulan. 

 

Di samping itu, VS Industry akan menguruskan penempatan mereka dengan segera di asrama yang mematuhi Akta Piawaian Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja, 1990 (No. 446).

 

Pengarah Urusan VS Industry, Datuk SY Gan berkata, syarikat telah mula berusaha untuk melaksanakan pelan tindakan tersebut dan menyelesaikan isu-isu berkenaan dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Ia akan mengambil sedikit masa kerana cabaran yang dikenal pasti dalam pengurusan beberapa pekerja asing di syarikat kami melalui program penyusunan semula melibatkan pihak lain juga.

 

"Bagaimanapun, kami berazam untuk mengekalkan komitmen kami ke arah menjaga kebajikan semua pekerja, termasuk pekerja asing," katanya.

 

Pada 6 Disember lalu, VS Industry berkata, pihaknya menghubunyi Hall berikutan rujukan yang dibuat mengenai syarikat ketika taklimat berkaitan kebajikan pekerja asing di Malaysia. 

 

Ini berkitan sejak akhir November lalu, terdapat beberapa laporan mengenai kebimbangan amalan buruh dalam kalangan pengilang khususnya syarikat pembekal pembuatan perkhidmatan elektronik (EMS), selepas Dyson memutuskan hubungan dengan ATA IMS Bhd.  

 

Dalam pada itu, Gan memberitahu, kumpulan akan melaksanakan audit pematuhan sosial pihak ketiga menjelang Mac 2022 dan hasil audit akan dikongsi secara telus dengan Hall sebagai asas untuk penglibatan dan inovasi berterusan. 

 

"Hall juga akan terlibat dan memberi rundingan berhubung format dan pelaksanaan audit secara khusus," tambahnya.

 

Menurut Gan, syarikat juga komited untuk memastikan semua pekerja migran pada masa akan datang diambil secara langsung oleh kumpulan, tanpa melibatkan pihak ketiga. 

 

Sementara itu, Hall berharap usahanya dengan meningkatkan kesedaran mengenai isu yang dihadapi pekera asing di Malaysia dan dalam industri EMS bahawa lebih banyak organisasi, sama ada di dalam atau di luar negara, akan memberi lebih perhatian terhadap aspek penting dan sensitif mengenai isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan hak pekerja asing. - DagangNews.com